comscore
Tumpuan :
Hiburan

Tokti perjelas konsep album baru

Foto: Siti Nurhaliza / Instagram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza hari ini tampil memberi penjelasan mengenai pemilihan konsep album terbaharunya berjudul SITISM yang menjadi perdebatan warganet.

Perkongsian penyanyi tersohor itu di Instagram (IG), Siti atau dipanggil TokTi menerangkan konsep dan imej dipaparkan dalam album adalah terjemahan kepada konsep ‘cyber retro futurism’.

“Konsep album adalah ‘cyber retro futurism’ dan ia adalah gabungan gaya seni dan reka bentuk inspirasi dari elemen masa silam seperti nostalgia dan gaya retro, masa kini serta suntikan elemen futuristik.

“Elemen futuristik dipaparkan sangat unik kerana fungsinya sebagai imaginatif mengenai pandangan masa hadapan dalam industri muzik,” tulis Siti.

Mengulas foto digital yang memaparkannya memakai ‘headphone’, penyanyi lagu Aku Cinta Padamu itu berkata, visual itu adalah untuk melengkapkan lagi konsep yang dipilih.

“Visual album ini adalah simbolik kepada karya ikonik futuristik menerusi imej ‘headphone’, yang menggabungkan elemen jalinan nota muzik membentuk seperti mahkota.

“Gaya ‘headphone’ adalah simbolik gaya mendengar muzik dan audio pada era siber ini, manakala jalinan elemen nota muzik simbolik formula penciptaan iaitu komposer dan penulis lirik serta penjelajahan idea baharu untuk menghasilkan irama terbaik.

“Selain itu, ia turut melambangkan interpretasi perasaan dan imaginasi saya termasuk visi, misi, inspirasi, impian dan pengalaman dalam industri muzik,” jelas pemenang Anugerah Seri Perak Anugerah Bintang Popular BH 2012 ini.

Mengenai pemilihan warna metalik yang melatari keseluruhan kulit album, Siti menyifatkan warna itu sebagai gambaran keperibadiannya yang juga menjadi tanda dagang dirinya sejak hampir tiga dekad berada dalam belantara seni.

“Gabungan warna metalik, tembaga dan kuning keemasan mewakili eksklusiviti, keanggunan dan keberanian saya yang sudah sekian lama bertapak dalam kerjaya seni,” ungkap Siti.

SITISM yang bakal menemui peminat di pelantar digital mulai esok memuatkan lapan lagu ciptaan komposer senior dan muda termasuk dari Indonesia.

Antara nama hebat yang menyumbangkan lagu untuk album itu termasuklah Aubrey Suwito, Melly Goeslaw, Sharon Paul, Andi Rianto, Luca Sickta, Tomok dan ramai lagi.

Loading...
Terkini