comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi bot nelayan hilang: 3 telah ditemui, seorang masih hilang

Foto ihsan Maritim Malaysia

BATU PAHAT: Seorang lagi mangsa bot nelayan karam di perairan Tanjung Segenting, dekat sini lima hari lalu ditemui lemas, di perairan Muar petang semalam, menjadikan tiga mangsa berjaya ditemui manakala seorang lagi masih hilang.

Pengarah Maritim Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, mangsa dikenali sebagai Lee Pong Ling, 68, ditemui oleh Feri MV Mulia Kencana 20 ketika dalam perjalanan dari Bengkalis, Indonesia ke Muar, sekitar jam 2 petang semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jeti Jabatan Laut Muar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Foto ihsan Maritim Malaysia

“Operasi carilamat seorang lagi nelayan dikenali sebagai Raud Darus@Hamid, 53, akan diteruskan oleh aset Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin selepas operasi berkenaan ditamatkan petang semalam selepas tiada petunjuk baru,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu, empat nelayan hilang selepas bot yang mereka naiki karam akibat dibadai ombak besar  di perairan Tanjung Segenting, pada pagi Jumaat.

Sabtu lalu, mayat tekong, Chiah Kah Chong, 53, ditemui ketika operasi mencari dan menyelamat memasuki hari kedua.

Sehari selepas itu, satu lagi mayat nelayan yang dikenali sebagai Tan Hai Lian, 62, ditemui terdampar di Pantai Koris oleh orang awam yang berada di kawasan berhampiran.

Hanya Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Op carilamat membabitkan enam buah aset di laut dan dua buah aset di udara diaturgerak membabitkan pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan AngkatanPertahanan Awam (APM) dilancar sebaik menerima laporan kehilangan 4 nelayan terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini