comscore
Tumpuan :
Artikel

[VIDEO] Transformasi digital, impak kepada dunia kewartawanan

Oleh: Mieza Shafieza Mohd Fuad

Mendepani era globalisasi, tidak dinafikan perubahan teknologi semasa memberi impak kepada pelbagai jenis sektor dan kerjaya.

Antaranya ialah bidang kewartawanan, yang kini memerlukan kepakaran digital dan tidak lagi bergantung kepada asas kemahiran menulis dan mencatat nota sahaja.

Sempena Hari Wartawan Nasional Hawana 2023 yang disambut pada 29 Mei, Buletin TV3 mengupas transformasi arus digital dalam dunia kewartawanan.

Aspek jaringan memainkan peranan penting terutama bagi pengamal media di lapangan untuk memudahkan proses penyampaian berita dengan tepat dan pantas tanpa gangguan.

Bagi tujuan itu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memastikan kesenjangan digital dapat dikurangkan sekaligus menoktahkan isu gangguan jaringan secara keseluruhan.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, aspek digitalisasi memberi satu sudut yang jauh berbeza berbanding suatu ketika dahulu dimana konsep media bagi rakyat adalah akhbar, siaran di kaca televisyen ataupun di corong radio.

“Sekarang ini media semuanya dalam peranti mudah alih atau telefon pintar. Disinilah kita boleh buat berita disinilah kita boleh sampaikan berita disinilah juga kita boleh menangkis berita palsu dan sebagainya.”

“Jadi ini aspek digitalisasi yang sangat baru dan cabaran-cabaran yang sudah pasti dihadapi oleh organisasi media ialah kelengkapan yg terkini,” katanya kepada Buletin tv3.

Bagi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), perubahan ketara dunia digital masa kini memerlukan wartawan lebih peka kepada persekitaran teknologi supaya mereka kekal relevan pada masa sama memberi manfaat kepada semua pihak khususnya khalayak ramai.

Antara transformasi arus digital melibatkan industri kewartawanan termasuk penggunaan teknologi Augmented Reality atau AR secara lebih meluas.

Presiden NUJ, Farah Marshita Abdul Patah

Perkara tersebut turut dipersetujui Presiden NUJ, Farah Marshita Abdul Patah yang juga merupakan seorang wartawan dari NST.

“Berita itu kalau kita tak dapat nak bayangkan kita tak dapat nak kaitkan. Bila kita tak dapat nak kaitkan, kita tak dapat faham apa yang cuba disampaikan.”

“Jadi kalau kita ada AR benda tu sedikit sebanyak boleh membantu pembaca atau penonton diluar sana untuk membayangkan apa yang sedang berlaku.”

“Katakanlah contoh kita (wartawan) berada di zon perang, kita boleh menggambarkan suasana itu. orang pun dapat merasakan apa yang sedang berlaku dan itu membuatkan sesuatu berita tu lebih menarik,” katanya.

Dalam pada itu, pengadaptasian ke arah digital juga adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan kelangsungannya seiring dengan Revolusi Industri IR 4.0.

Teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) umpamanya dalam era pendigitalan, dan penggunaannya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk keperluan industri.

Penolong Editor Digital, Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Media Prima, Ima Liana Esa

Menurut Penolong Editor Digital, Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Media Prima, Ima Liana Esa, teknologi AI adalah aplikasi yang mudah untuk digunakan terutama dalam meniti arus digitalisasi masa kini.

“Kita tidak boleh menolak teknologi, tetapi paling penting, macam mana seseorang wartawan itu memanfaatkan AI untuk menghasilkan berita yang lebih komprehensif. Itu antara perkara yang mereka kena belajar.”

“Saya rasa apa jua perubahan peranan wartawan hari ini, mereka memerlukan latihan yang mencukupi untuk mereka memanfaatkan sesuatu teknologi itu dengan baik dan bijak.”

“Bagi saya organisasi media memainkan peranan penting dalam membantu wartawan penyiaran bersedia mengadaptasi tugas mereka seiring dengan perkara baharu,” katanya.

Bertemakan “Media Bebas, Tunjang Demokrasi”, sambutan Hawana pada kali ini diadakan di Ipoh, Perak yang melibatkan kira-kira 150 pengamal media.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional dan ia dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Kali pertama Hawana diadakan adalah pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur, namun terhenti selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 sebelum dianjurkan kembali di Melaka tahun lepas.

Loading...
Terkini