comscore
Tumpuan :
Nasional

Trip ok tapi ‘gap’ masa terlalu lama – pengunjung

Pemeriksaan tiket di pintu masuk terminal feri Kuala Perlis

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Pertambahan operasi feri dengan kekerapan sehingga 6 perjalanan sehari, memberi kelegaan buat pengunjung yang menggunakan perkhidmatan itu di Terminal Feri Kuala Perlis.

Antara lain, ia mengurangkan kesesakan terutama ketika musim cuti persekolahan.

Seorang pengunjung, Ahmad Aminuddin Rahim, 44, berkata, perjalanannya ke lebih lancar berbanding sebelum ini yang terhad pilihan waktu perjalanan.

“Alhamdulillah, perjalanan ke Langkawi lancar. Tiket feri telah dibeli awal dan saya tiba ke terminal mengikut waktu ditetapkan supaya tidak perlu menunggu lama,” katanya kepada Buletin TV3.

Ketika ini, terdapat 4 trip perjalanan feri antara jam 7 pagi hingga 1.30 tengah hari, manakala trip berikutnya pada 2.30 petang dan berselang hampir 5 jam sebelum perjalanan feri terakhir pada 7.30 malam.
Bagaimanapun, pengunjung masih mengharapkan pihak konsortium feri dapat melihat semula jadual perjalanan memandangkan jarak masa perjalanan feri pada sebelah petang yang terlalu lama.

“Kami sekeluarga tiba awal, tetapi terminal hanya boleh masuk sejam sebelum waktu berlepas jadi kami terpaksa menunggu di sini. Kawasan di sini pun agak sunyi dan tiada aktiviti boleh dilakukan sementara menunggu waktu perjalanan,” ujarnya yang tidak mahu identiti didedahkan.

Sementara itu, seorang peniaga, Syed Ruzman Ardi Syed Mansor berkata, kebanyakan peniaga akan menutup operasi selepas jam 2.30 petang menyebabkan kawasan itu lenggang dan sunyi.

“Sunyi, memang sunyi. Macam hari ni memang feri ada sehingga 7.30 malam tetapi selang masa terlalu panjang dan kami terpaksa tutup meniaga awal kerana tiada pengunjung.

“Kalau gerai buka pun, pengunjung tiada dan jualan tetap tidak laku. Kalau dulu purata boleh dapat RM500 sehari, tetapi kini nak dapat RM200 pun payah,” katanya yang berniaga di hadapan Terminal Feri Kuala Perlis.

Exco Pelancongan Negeri, Wan Badariah Wan Saad ketika ditemui meninjau keadaan di terminal itu berkata, pihaknya menerima aduan pelbagai isu berbangkit yang akan dibawakan dalam mesyuarat exco, petang ini.

“Terdapat dua isu yang diadukan kepada saya, antaranya mengenai keperluan seorang anggota polis untuk ditempatkan di bangunan penjualan tiket ini dan satu lagi mengenai perbezaan harga tiket antara rakyat tempatan dan bukan warganegara.

“InsyaALLAH kita akan berbincang dengan kerajaan negeri bersama pemain industri dan pihak konsortium feri mengenai permasalahan ini.

“Dalam masa sama, rakyat perlu tahu sememangnya kerajaan negeri sedang merancang pelbagai penambahbaikan dalam aspek pelancongan terutamanya berkaitan feri, bagi jangka masa pendek dan panjang,” ujarnya.

Semakan harga tiket mendapati, bagi perjalanan Kuala Perlis ke Langkawi, harga tiket dewasa bagi rakyat tempatan adalah RM21 manakala bukan warganegara RM27, manakala RM 16 bagi kanak-kanak tempatan dan RM19.50 bagi kanak-kanak bukan warganegara.

Loading...
Terkini