comscore
Tumpuan :
Nasional

TUDM laksana operasi pembenihan awan di Pulau Pinang hari ini

FOTO: Ihsan TUDM

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang dan Empangan Teluk Air Itam, Pulau Pinang, hari ini.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan, berkata operasi dijalankan secara bersepadu bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Katanya, OPA yang juga usaha bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu dijangka akan diteruskan sehingga Khamis ini, namun bergantung kepada keadaan.

“Operasi dilaksanakan menggunakan pesawat angkut C130 Hercules dansesi dimulakan dengan taklimat penerbangan dan keselamatan oleh Komander Pesawat, Leftenan Kolonel Mohd Khairol Fadly Abu Bakar.

“Pada jam 11 pagi, kakitangan METMalaysia dan TUDM membuat bancuhan garam dan untuk operasi kali ini, sebanyak empat tangki bancuhan larutan garam disediakan dengan muatan 1,500 liter setiap satu tangki,” katanya.

Tambah kenyataan itu, setiap tangki ini memerlukan 200 kilogram garam menjadikan keseluruhannya campuran air garam, mengandungi 800 kilogram garam dan 6,000 liter air.

“Proses menyediakan empat tangki bancuhan larutan garam mengambil masa kira-kira tiga jam sebelum bancuhan yang siap dimasukkan ke dalam pesawat C130H oleh anak kapal No 20 Skuadron.

“Pesawat C130 diterbangkan Mohd Khairol Fadly dibantu Juruterbang Pertama, Mejar Mohammad Irwan Kamarudzaman dan Pembantu Juruterbang, Kapten Ahmad Aslam Hadi Hassan berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 2.45 petang tadi,” katanya.

Penerbangan turut disertai lima anak kapal iaitu Mejar Solihin Azman, Mejar Yusof Baydowi, Pegawai Waran Udara 1 Saifu Abdullah, Sarjan Udara Khusyairi, empat kakitangan METMalaysia serta seorang kakitangan Badan Kawal Selia Air.

“Semoga usaha bersepadu yang dilaksanakan dapat membantu usaha-usaha pembenihan awan bagi memulihkan bekalan air yang terjejas dan semakin menyusut di kawasan tadahan hujan.

“Pihak TUDM melalui No 20 Skuadron tetap komited membantu misi OPA yang dilaksanakan dan semoga usaha ini mendatangkan hasil,” katanya.

Loading...
Terkini