comscore
Tumpuan :
Nasional

Tujuh individu masih direman berkait tangkapan warga Israel

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR: Seramai tujuh individu masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam senjata api serta lebih 200 peluru di Jalan Ampang, di sini, pada 27 Mac lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, enam lagi individu yang ditahan berkaitan kes berkenaan pula sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan dilengkapkan.

“Lelaki warga Israel berkenaan mengaku tidak bersalah atas pendakwaan dibuat terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 158 peluru.

“Walaupun dia sudah dituduh atas pemilikan senjata api, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar kerana terdapat suspek masih belum ditahan yang boleh membantu mengetahui motif,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai tiada tawaran ikat jamin terhadap lelaki terbabit, beliau berkata, orang kena tahan (OKT) itu akan ditahan dalam penjara di bawah kawalan pihak penjara sehingga perbicaraan selesai.

Terdahulu, lelaki warga Israel itu, Avitan Shalom, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 158 butir peluru.

Pada 27 Mac lalu, lelaki itu warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol serta 158 butir peluru dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB) mendapati lelaki itu memasuki negara ini menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu.

Lelaki yang menggunakan pasport Perancis itu didakwa merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Loading...
Terkini