comscore
Tumpuan :
Nasional

Tukang-Tukang SMK Bingkor juara dunia Dance World Cup 2024 di Prague

Pelajar SMK Bingkor, Keningau memenangi dua pingat emas dan dua anugerah utama pertandingan Dance World Cup 2024 di Prague, Republik Czech. FOTO: Ihsan Caroline Jreneus

KOTA KINABALU: Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bingkor, Keningau mengharumkan nama negara apabila memenangi dua pingat emas dan dua anugerah utama pertandingan Dance World Cup 2024 di Prague, Republik Czech, baru-baru ini.

Sekolah itu yang juga satu-satunya wakil Malaysia ke pertandingan antarabangsa disertai 54 negara itu memenangi anugerah emas bagi kategori Junior Solo National and Folklore Dance dan kategori Junior Duet / Trio National and Folklore Dance, pada 4 Julai.

Selepas kemenangan itu, mereka kemudian dijemput bertanding merebut Most Outstanding Trophy pada Gala Night Dance World Cup 2024, 6 Julai lalu dan berjaya memenangi anugerah major Most Outstanding Male Junior dan Most Outstanding Duet / Trio Junior.

Pelajar terbabit ialah Mohamad Haykal (Tingkatan Lima), Flirencley Lius (Tingkatan Tiga) dan Wilfred Marcus (Tingkatan Lima), manakala seorang guru SMK Bingkor, Caroline Jreneus, mengiringi mereka sepanjang pertandingan di Prague.

Mereka yang menamakan diri Kumpulan Tukang-Tukang SMK Bingkor di bawah bimbingan jurutari Brandon Balasius @ Boichore berlatih selama tiga bulan sebelum bertolak ke Prague pada 2 Julai lalu dan pulang semalam.

Pada pertandingan itu, Mohamad memenangi anugerah emas Junior Solo National and Folklore Dance (lelaki) dan anugerah major Most Outstanding Male Junior, manakala kumpulan mereka bertiga memenangi anugerah emas Junior Duet / Trio National and Folklore Dance dan Most Outstanding Duet / Trio Junior.

Ketika dihubungi, Caroline turut berterima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia di Prague yang menjaga kebajikan mereka sepanjang berada di negara berkenaan.

“Mereka (pegawai kedutaan) hadir memberikan sokongan moral kepada kami sepanjang pertandingan berlangsung,” katanya.

Mengenai masa depan Kumpulan Tukang-Tukang SMK Bingkor, Caroline berkata, kumpulan berkenaan mempunyai ramai ahli yang bersedia untuk diketengahkan sebagai penari yang berbakat sama ada di peringkat daerah, kebangsaan atau antarabangsa.

“Bagi menyediakan penari yang berkualiti, mereka perlu sentiasa didedahkan dengan pelbagai jenis pertandingan tidak kira di peringkat daerah mahupun kebangsaan,” katanya.

Beliau juga berharap kejayaan tiga pelajar SMK Bingkor itu dapat menyuntik semangat kepada sekolah berkenaan untuk terus menyerlah di semua peringkat sama ada dalam negara atau antarabangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini