comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tumpahan diesel dari Singapura sudah merebak ke Johor


JOHOR BAHRU: Insiden tumpahan minyak yang berlaku susulan perlanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang, Singapura pada Jumaat lalu dikesan sudah merebak ke perairan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, berkata kejadian itu berlaku susulan kuantiti tumpahan minyak hasil pelanggaran itu adalah besar iaitu membabitkan kira-kira 400 tan.

Katanya, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura sudah memaklumkan secara rasmi mengenai insiden pelanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang, sehingga menyebabkan tumpahan minyak low sulphur Marine Fuel Oil (MFO) 380 di perairan republik itu, yang berlaku Jumaat lalu.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor juga sudah menerima pemakluman daripada Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) bahawa ada pencemaran minyak dikesan di Pantai Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi.

“Semalam, sekitar jam 9.30 pagi, JAS Johor dan MPP juga sudah melakukan tinjauan di Pantai Sungai Rengit, Pengerang, dan mendapati sememangnya terdapat pencemaran minyak di pantai berkenaan.

“Sekiranya perlu, Pelan Tindakan Pembersihan Pantai akan diaktifkan bagi menjalankan operasi kerja-kerja pembersihan di pantai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, sebuah kapal dari Belanda, Vox Maxima, dilaporkan melanggar kapal tangki minyak dari Singapura, Marine Honor, di Terminal Pasir Panjang, Singapura.

Kejadian itu menyebabkan kapal tangki minyak itu mengalami kebocoran hingga berlaku limpahan minyak mengalir ke kawasan perairan dan laut di Terminal Pasir Panjang.

Pihak berkuasa Singapura dilaporkan memperluaskan usaha pembersihan ke lebih banyak kawasan perairan republik itu berikutan tumpahan minyak besar telah dikesan merebak sehingga ke perairan Changi, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, semua agensi berkaitan laut dan perairan negara sudah dimaklumkan susulan aduan pencemaran tumpahan minyak di perairan Pengerang, Kota Tinggi oleh MPP.

Katanya, susulan pemakluman insiden tumpahan minyak itu, JAS Johor memohon bantuan Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS); Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ); Pejabat Daerah Kota Tinggi dan MPP, untuk membantu aktiviti rondaan dan pengesanan pencemaran di perairan negara.

“Selain itu, pemakluman sama turut diberikan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia); Pasukan Polis Gerakan Marin; Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Angkatan Pertahanan Awam (APAM); Dialog Terminals Pengerang Sdn Bhd, serta PETRONAS Pengerang untuk membantu dalam aktiviti rondaan di laut bagi mendapatkan maklumat lanjut keadaan semasa pencemaran,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini