comscore
Tumpuan :
Nasional

Tun M enggan ulas sesi prosiding di BHEUU

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

PUTRAJAYA: Selepas hampir dua jam memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mengulas mengenai prosiding dihadirinya.

Ketika ditemui sebaik selesai prosiding secara tertutup itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak mahu mengulas berhubung prosiding terbabit kerana ia dibuat secara ‘rahsia’.

“Ini adalah meeting tertutup, saya tak boleh kata apa, tetapi saya akan berjumpa media berkenaan dengan pemikiran which is not secret”

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di perkarangan Bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Tun Dr. Mahathir juga secara ringkas memaklumkan, beliau akan mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana pada jam 3 petang.

Terdahulu, Tun Dr. Mahathir yang tiba di BHEUU pada jam 10.46 tadi disambut oleh beberapa penyokongnya dan bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Mahkamah Tinggi hari ini juga menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah supaya prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, dijalankan secara terbuka.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh juga menolak permohonan sama yang dikemukakan Tun Dr Mahathir bagi perintah melarang Tun Md Raus Sharif daripada bertindak sebagai Pengerusi RCI dan menghalang Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir daripada menjadi ahli RCI.

Datuk Amarjeet turut menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu untuk menangguhkan prosiding RCI sehingga penyelesaian akhir permohonan berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Tun Dr Mahathir supaya dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa RCI membenarkan beliau dan peguamnya hadir sepanjang prosiding berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini