comscore
Tumpuan :
Nasional

Ular sawa telan anak lembu

Anggota APM menunjukkan ular sawa yang menelan anak lembu di kawasan semak berhampiran hutan di Kampung Guar Chempedak di Baling. – Foto ihsan APM Baling.

BALING: Seekor ular sawa ditemukan kekenyangan selepas menelan seekor anak lembu di kawasan semak berhampiran hutan di Kampung Guar Chempedak, di sini tengah malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata ular sawa seberat 40 kilogram (kg) dan panjang kira-kira tiga meter itu bagaimanapun bertindak agresif ketika anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling cuba menangkapnya.

Beliau berkata anggotanya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular berkenaan.

“Kami menerima panggilan berkaitan ular sawa itu pada jam 12 tengah malam tadi daripada orang awam. Sebaik tiba di lokasi didapati ular sawa itu baharu selesai menelan anak lembu berkenaan.”

“Bagaimanapun, ketika anggota kami cuba hendak menangkapnya, ular sawa itu memuntahkan semula anak lembu berkenaan yang dipercayai sudah mati,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Faizol berkata ular itu kemudian dibawa ke pejabat APM Baling untuk sementara waktu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Beliau berkata cuaca panas pada ketika ini menyebabkan ular keluar mencari sumber makanan dan tempat perlindungan.

Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan menghubungi pasukan penyelamat sekiranya terserempak dengan ular terutama daripada spesis berbisa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini