comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes tiga jemaah haji terkandas di KLIA akan disiasat

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika baginda berbual bersama jemaah pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci di Sepang hari ini. – FOTO: NSTP

SEPANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya akan menyiasat kes tiga jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Mengikut laporan awal, kejadian berlaku kerana agensi yang mengendalikan pakej itu gagal menyediakan tiket balik ke Malaysia.

Menurut Mohd Na’im, berdasarkan maklumat awal yang diterima pihaknya, kejadian berlaku kerana jemaah haji terbabit mengambil pakej menunaikan haji menggunakan visa pelancong.

“Kita akan dapatkan maklumat berkenaan perkara ini secara terperinci dan maklumkannya kemudian,” katanya selepas menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada 282 jemaah haji yang akan berlepas ke Tanah Suci di Pusat Konvensyen, Hotel Movenpick, di sini hari ini.

Mohd Na’im ditanya berhubung kejadian tiga jemaah haji termasuk pasangan suami steri dari sebuah negeri di selatan tanah air dan seorang wanita dari Sabah yang terkandas di KLIA semalam.

Mengikut maklumat yang diterima, agen berkenaan menyediakan visa pelancong dan tiket menggunakan penerbangan Qatar Airways dari KLIA ke Singapura seterusnya ke Doha serta Riyadh dan akhirnya ke Jedaah bagi mengaburi pihak berkuasa.

Agensi terbabit juga dikatakan menyediakan tiket palsu balik ke Malaysia yang dikesan pihak petugas kaunter KLIA lalu menghalang mereka untuk berlepas ke luar negara.

Modus operandi agensi ini dapat dihidu oleh pihak kaunter KLIA selepas mendapati tiket berlepas ke Riyadh bertarikh semalam manakala tiket palsu balik ke Malaysia bertarikh 28 Mei.

Dalam pada itu Mohd Na’im berkata beliau berharap semua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang ditentukan pihak berkuasa Arab Saudi.

Menurutnya, sebarangan tindakan tidak bertanggungjawab boleh memberi kesan kepada individu terbabit serta nama baik negara.

Beliau mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia agar mematuhi keputusan fatwa kerajaan Arab Saudi berkenaan larangan menunaikan haji tanpa permit dan sebarangan penggunaan visa tidak sah akan dikenakan tindakan.

“Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi juga sentiasa memantau mana-mana pihak yang mempromosikan pakej haji tanpa melalui prosedur yang betul,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini