comscore
Tumpuan :
Nasional

Undang-undang Perancis lindungi hak petani di kawasan desa

Foto hiasan

PARIS: Warga kota Perancis yang mencari ketenangan di kawasan desa tetapi diganggu bunyi ayam jantan berkokok, lembu melenguh, dan babi berbau busuk, kini akan menghadapi kesukaran membawa petani ke mahkamah kerana undang-undang baharu yang diluluskan Parlimen, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Petani yang menjalankan peranan tradisional mereka secara sah akan dilindungi di bawah undang-undang baharu ini yang diluluskan pada lewat Isnin.

Warga kota yang berpindah ke desa juga tidak lagi dapat mengheret jiran mereka ke mahkamah akibat bunyi traktor pada waktu malam atau pekerjaan di kedai roti setempat, jika pekerjaan itu sah.

Beratus-ratus konflik dengan jiran berkaitan bunyi dan bau busuk selama ini telah membebankan mahkamah tempatan.

Kisah seorang peladang tenusu yang diperintah membayar €100,000 (AS$108,000) kepada jirannya dan mengubah suai bangsalnya telah menjadi berita utama.

Pada tahun 2019, sebuah mahkamah memutuskan untuk memihak kepada ayam jantan Maurice, yang dibenarkan untuk terus berkokok walaupun menerima aduan daripada jirannya, pemilik rumah percutian yang merasakan haknya dicabuli.

Kini, semua pekerjaan di kawasan desa yang diusahakan secara sah sebelum jiran baharu berpindah masuk dibenarkan untuk terus beroperasi.

Undang-undang sebelumnya diluluskan pada tahun 2021 bertujuan untuk menentukan “warisan daripada deria” kawasan desa Perancis dan melindunginya. Ini termasuk bunyi dan bau khusus kawasan alam semulajadi dan pertanian. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini