comscore
Tumpuan :
Hiburan

Universal Music sahkan Syasya bernikah

KUALA LUMPUR: Universal Music Malaysia (UMM) mengesahkan bekas anggota Dolla, Syasya atau nama sebenarnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal, 23, sudah bergelar isteri dalam satu majlis tertutup, semalam.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, syarikat rakaman itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran terperinci majlis itu termasuk identiti jejaka yang bergelar suami Syasya.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, perancangan mendirikan rumah tangga menjadi antara faktor pengunduran Syasya daripada Dolla.

“Susulan pengumuman pengunduran Syasya daripada Dolla, Universal Music Malaysia dengan sukacitanya berkongsi khabar gembira mengenai pernikahan Syasya, semalam.

“Terlebih dahulu terima kasih kepada semua pihak termasuk rakan media, peminat dan sesiapa saja yang sudah menyokong kerjaya Dolla dari awal sehingga kini.

“Tidak dinafikan pengunduran Syasya daripada Dolla mengejutkan ramai. Namun, kami perlu akur keputusan dibuat empunya diri yang disifatkan terlalu peribadi.

“Ingin dikongsi berita gembira buat semua yang mana Syasya mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya semalam.

“Ini juga antara faktor utama kenapa Syasya memilih untuk tidak lagi bersama Dolla,” katanya.

Pada masa sama, syarikat rakaman terbabit berharap berita pernikahan Syasya menamatkan spekulasi yang bertebaran.

“Kita doakan semoga segala apa yang sudah dirancang Syasya lancar dan dipermudah. Diharap ikatan perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke Jannah.

“Apa yang penting juga, semoga berita gembira ini menghentikan segala spekulasi tidak tepat yang timbul. Kami juga berharap semua pihak dan peminat akan terus menyokong kerjaya seni dan karya Dolla,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, tular foto Syasya bersama suaminya yang dipercayai dirakamkan selepas majlis akad nikah berlangsung.

Pada 8 Mac lalu, Dolla membuat kejutan apabila mengumumkan pengunduran Syasya menerusi hantaran di akaun rasmi mereka hingga ramai peminat kecewa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini