comscore
Tumpuan :
Nasional

Universiti awam diminta kenal pasti penginapan pelajar usang 

FOTO: NSTP

NILAI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meminta supaya pihak pengurusan universiti awam mengenal pasti kemudahan kampus yang tidak diselenggara lebih 20 tahun atau usang terutamanya membabitkan penginapan pelajar.

Menteri Pendidikan Tinggi ,Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pihak pengurusan perlu memberi keutamaan kepada kemudahan penginapan pelajar bagi memastikan mereka mendapatkan tempat tinggal yang selesa ketika berada di kampus.

“Saya telah mengarahkan pihak universiti untuk memastikan penyelenggaraan kampus diberikan keutamaan. Ada tempat penginapan ini yang tidak dibaik pulih lebih 20 tahun dan keadaan asrama yang usang, menjadi tanggungjawab kita mendapatkan maklumat ini.

“Saya berada di Sarawak beberapa hari lepas dan melawat kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), saya lihat keadaan di situ… saya tekankan keutamaan perlu diberikan terutamanya tempat penginapan pelajar,” katanya.

Beliau menghadiri sesi dialog Pemukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) bersama 95 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek hari ini.

Sementara itu, beliau berkata program pemukiman berkenaan merupakan platform terbaik untuk perwakilan pelajar berkongsi pendapat bagi melahirkan pemimpin yang berwawasan tinggi serta berkaliber.

Pada sesi itu juga, Datuk Seri Zambry mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada MPP bagi 20 Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan tujuh Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).

“Sebagai tanda menghargai penglibatan semua MPP dalam program ini, setelah berbincang dengan pihak pengurusan saya ingin umumkan setiap majlis perwakilan (MPP) bagi 20 IPTA dan tujuh IPTS, diperuntukkan RM20,000,” katanya.

“Visi saya mahu melihat barisan perwakilan pelajar di depan saya ini menjadi pemimpin…mungkin ada dalam kalangan kamu semua akan menjadi Perdana Menteri atau memimpin negeri masing-masing,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini