comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] UNSC gagal capai keputusan: Malaysia kerjasama Liga Arab, OIC hentikan Perang Israel-Palestin

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

DENGKIL: Malaysia akan terus menjalin hubungan dan mengambil tindakan bersama Liga Arab dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menghentikan perang Israel-Palestin, di sebalik kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mencapai keputusan berhubung tindakan menghentikan peperangan itu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak ambil pusing keputusan berkenaan namun menegaskan hak rakyat Palestin perlu dikembalikan.

“Kita tak peduli apa keputusan yang lain. Tapi pendirian kita ialah hak rakyat Palestin mesti diberi. Soal tanah dia, harta dia, maruah dia dan dan yang segera ialah menghentikan serangan dan menyalurkan bantuan kemanusiaan, itu keutamaan kita sekarang,” katanya.

Beliau ditemui selepas meluangkan masa kira-kira 30 minit menjamu selera di Kedai Makan Ramli Corner, di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ilmi, Kampung Dato Ahmad Razali di sini.

Rusia dan China semalam menggunakan kuasa veto terhadap resolusi Amerika Syarikat (AS) yang mengusulkan perang dihentikan seketika bagi membolehkan penyaluran bantuan kemanusiaan ke kawasan konflik dan perlindungan ke atas penduduk Gaza.

Menurut Al Jazeera dan agensi berita antarabangsa, resolusi AS sekutu rapat Israel itu juga diusulkan untuk mendapatkan sokongan  Majlis Keselamatan bagi menghentikan penyaluran senjata kepada Hamas dan kumpulan pejuang lain di Gaza.

Dalam draf resolusinya, AS dilihat lebih berlembut selepas kumpulan diplomat menyuarakan rasa terkejut atas kegagalan kuasa besar dunia itu mengiktiraf krisis kemanusiaan di Gaza, selain kenyataan Israel mempunyai hak mempertahankan diri.

Diplomat menyatakan ‘gencatan untuk kemanusiaan’ yang mungkin hanya bagi tempoh beberapa jam, tidak sama dengan gencatan senjata, pendirian yang disokong oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Sementara itu, resolusi Russia yang menggesa gencatan senjata kemanusiaan dilaksanakan, selain mahu Israel menarik balik arahan supaya orang awam di Gaza berpindah ke selatan sebelum serangan darat dilancarkan turut gagal mendapat sokongan mencukupi anggota UNSC.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia akan terus bekerjasama dengan Liga Arab dan negara anggota OIC untuk memantau perkembangan semasa konflik Palestin-Israel.

Ujar beliau, rundingan diadakan setiap hari dengan isu kemanusiaan dan menghentikan serangan adalah keutamaan negara Islam.

“Tapi soal bantuan kemanusiaan, makanan, perubatan, itu kita segerakan dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi beri jaminan bantuan makanan akan segera disalurkan menerusi Rafah sebaik menerimanya daripada kerajaan,” katanya.

Ditanya gesaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal supaya Kerajaan Malaysia memboikot Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, AS pada bulan depan, Anwar berkata, beliau akan melihat keadaan terlebih dahulu dan masih terlalu awal untuk membuat keputusan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini