comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Usah pinggir industri kreatif yang turut merangsang ekonomi negara – RIM

Rosmin berharap warga penggiat seni tidak tercicir menerima manfaat memandangkan industri kreatif boleh membantu merangsang ekonomi negara. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Penggiat seni mengharapkan imbuhan bermanfaat bagi merancakkan sektor industri kreatif menerusi Belanjawan 2024 yang bakal dibentangkan, Jumaat ini.

Seperti sektor lain, pastinya seluruh penggiat seni meletakkan harapan tinggi supaya kerajaan tidak meminggirkan industri kreatif yang turut membantu menyumbang dan merangsang ekonomi negara.

Rata-rata mereka memohon pertimbangan berat terhadap peluang pekerjaan kepada penggiat seni berikutan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Memperincikan perkara itu, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Public Performance Malaysia (PPM), Rosmin Hashim berkata, pihaknya mengharapkan tidak akan tercicir menerima manfaat memandangkan industri kreatif turut membantu merangsang ekonomi negara.

“Sudah tentu kalau boleh kita mahukan peruntukan lebih besar untuk industri kreatif termasuk bidang muzik. Dengan peruntukan lebih ia akan memberi kesan berganda pada ekonomi negara.

“Perkara ini merujuk kaji selidik dilakukan oleh firma perunding berwibawa, PricewaterhouseCoopers (PwC), di mana kesan industri muzik terhadap ekonomi negara memberi nilai tambah sebanyak RM6.1 bilion setahun.

“Pencapaian ini menawarkan 111,000 pekerjaan dan menyumbang cukai tahunan lebih RM200 juta kepada negara dalam tempoh setahun. Ia juga adalah kaji selidik terkini dibuat PwC antara 2016 sehingga 2020,” katanya kepada HIP.

Justeru itu, Rosmin berkata, industri muzik mampu memberikan kesan besar kepada ekonomi negara dan memberi contoh pelaburan besar dibuat oleh pengambil risiko terbesar iaitu syarikat rakaman dalam penghasilan lagu.

Menerusi pelaburan itu, katanya, penulis, penyanyi, pemuzik, pengedar muzik dan industri berkaitan penyiar televisyen, radio, penganjur konsert, pusat karaoke serta lain-lain akan menerima manfaat.

“Apabila keluarkan lagu, ia akan memberikan pendapatan lebih banyak dalam ekosistem muzik. Selepas rakam lagu, ia akan beri pendapatan kepada artis, penulis lagu, pemuzik, pemilik studio dan sebagainya.

“Bila memasarkan lagu, akan memberikan pendapatan kepada syarikat produksi muzik video, lokasi pelancaran album dan banyak lagi. Semua ini mendapat manfaat daripada pelaburan awal dibuat.

“Bila sesebuah lagu popular, akan ada permintaan daripada penganjur acara mengadakan konsert untuk artis.

“Penganjur mendapat pendapatan, jadi lagu baharu sentiasa diperlukan oleh stesen radio untuk tarik pendengar bagi meraih pendapatan daripada siaran iklan. Sama juga kalau ulas lebih lanjut buat stesen penyiar televisyen, program realiti memerlukan artis popular dan lagu dihasilkan oleh industri muzik.

“Jadi, kalau ambil kira semua ini, kita boleh lihat industri muzik mendapat manfaat pelaburan awal syarikat rakaman.

“Sekiranya mendapat peruntukan lebih, ia akan beri kesan yang lebih berganda pada ekonomi negara. Negara akan menerima manfaat, misalnya jumlah peluang pekerjaan lebih banyak, cukai pendapatan lebih tinggi dan sebagainya.

“Ini antara rasional mengapa kerajaan perlu mempertimbangkan untuk meningkatkan peruntukan industri kreatif termasuk muzik,” katanya kepada BH Online.

Loading...
Terkini