comscore
Tumpuan :
Nasional

Kaum India, SJKT masih terima bantuan, peruntukan besar – Sivakumar

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menyangkal dakwaan kononnya masyarakat India tidak memperoleh peruntukan khusus dalam Belanjawan 2024 berbanding belanjawan sebelum ini.

Beliau yang merupakan menteri berketurunan India tunggal dalam Kabinet berkata, Kerajaan Perpaduan tidak pernah meminggirkan kebajikan masyarakat India di negara ini, malah meneruskan pelbagai inisiatif khusus untuk kaum itu dalam belanjawan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lalu.

Menurutnya, RM100 juta diperuntukkan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) selain RM30 juta disediakan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk Skim Pembiayaan Usahawan Mikro India.

“Kerajaan juga menyediakan RM50 juta sebagai bantuan kewangan bagi pengurusan rumah ibadat bukan Islam yang berdaftar bagi kerja-kerja membaik pulih dan menyelenggara kuil,” katanya pada majlis makan tengah hari pemimpin DAP bersama media Tamil sempena Deepavali di sini hari ini.

Menyentuh mengenai peruntukan khusus kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sivakumar berkata hampir RM50 juta diperuntukkan kepada sekolah itu tahun ini termasuk RM20 juta untuk penyelenggaraan sekolah selain 152 SJKT menerima RM70,000 bagi kerja penyelenggaraan tandas sekolah untuk keselesaan pelajar.

Sivakumar berkata, kaum India juga mendapat manfaat daripada semua peruntukan yang diberikan kepada pelbagai sektor termasuk kesihatan dan pendidikan.

Beberapa akhbar Tamil dalam laporan mereka sebelum ini mendakwa tiada peruntukan khusus kepada masyarakat India menerusi Belanjawan 2024 termasuk kepada SJKT.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying dan Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran. – BERNAMA

Loading...
Terkini