comscore
Tumpuan :
Nasional

Usaha martabat bangsa jangan sampai cetus polarisasi – Agong

SHAH ALAM: Perjuangan untuk memartabatkan bangsa tidak seharusnya menjerumuskan negara ke arah polarisasi sehingga menggugat semangat perpaduan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah polirasasi akan wujud apabila kaum semakin merenggang di antara satu sama lain, sama ada disebabkan oleh perasaan, sikap, tujuan dan cita-cita yang mengakibatkan kurangnya berlaku perhubungan antara pelbagai kaum.

“Polarisasi turut membawa implikasi sosio budaya yang luas dan jika tidak dibendung akan mengundang unsur-unsur radikalisme dan ekstremisme sehingga mewujudkan skala pertentangan yang besar dalam masyarakat,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-97 di Dewan Agung Tuanku Canselor, hari ini.

Al- Sultan Abdullah turut menyeru semua universiti serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini untuk turut sama memainkan peranan ke arah mewujudkan semangat akomodasi antara kaum.

“Kita boleh terus memartabatkan nasib dan masa hadapan kaum masing-masing menerusi pendidikan, tetapi pada masa yang sama tidak mengenepikan usaha ke arah pembentukan satu identiti nasional,” titah baginda.

Sementara itu baginda bertitah bagi melahirkan modal insan masa depan, ia bukan hanya sekadar dilengkapi dengan kemahiran untuk memenuhi pasaran tenaga kerja semata-mata sebaliknya perlu diperkasa dengan kemahiran insaniah.

Ia merangkumi prinsip moral terpuji, keunggulan budi pekerti, berperadaban mulia dan memiliki semangat jadi diri serta cintakan negara yang sejati.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-97 hari ini diceriakan dengan nyanyian ulang tahun bagi Hari Keputeraan ke-63 Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain menyaksikan pengisytiharan pelantikan Pro Canselor baharu UiTM iaitu Datuk Prof. Emeritus Dr. Hassan Said dan Datuk Abdul Wahab Aziz.

Loading...
Terkini