comscore
Tumpuan :
Nasional

Ustaz meninggal dunia ketika sampaikan kuliah Subuh

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) – MUIS, Dr Mohd Soberi Awang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyampaikan kuliah Subuh di Surau Al-Ittihadiyah, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor, pagi tadi.

Berita kematiannya dimaklumkan oleh menantunya, Mus’ab Umairi menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

“Hari ini ayah mertua saya, Ustaz Dr Soberi Awang telah kembali kepada penciptanya. Subuh kami di Cairo dibasahi air mata rindu. Mendapat khabar berita baba rebah semasa kuliah subuh di Surau Ittihadiah, Seksyen 9,” tulisnya.

Berita kematiannya turut dikongsi beberapa kenalan Allahyarham, antaranya pemimpin gerakan Islam termasuk Yang Dipertua ISMA Subang Jaya, Muhd Farhan Muhd Fadhil.

“Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun. Al Fadhil Ustaz Dr Soberi Awang telah meninggalkan kita semua pada jam 7.55 pagi tadi,” katanya.

Difahamkan, sebaik rebah, pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu dikejarkan ke Hospital Shah Alam sebelum disahkan meninggal dunia.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang faqih dan menguasai fiqh Syafie dengan mendalam, kuat penguasaan Bahasa Arab dan ilmu syair Arab.

“Mengenali Almarhum Dr Soberi Awang sejak beliau menyambung peringkat ijazah Master di Universiti Yarmouk Jordan. Kerap berulang alik ke rumah beliau untuk mendapatkan mutiara ilmu dan fiqh harakah dan dakwah sejak di Jordan dan juga di Malaysia,” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, Felo Elit Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Dr Mohamed Hadi Abd Hamid menerusi Facebook memaklumkan Mohd Soberi meninggal dunia ketika menyampaikan kuliah Subuh bertajuk Hari Kiamat.

“Di penghujung kuliah beliau yang terhenti selepas 20 minit, beliau sempat meminta maaf kerana sakit dada sudah lima hari (sambil menekan dadanya) dan sempat meneguk air.

“Kalimah terakhir beliau ialah “Allah subhanahu wa ta’ala…”, sebelum tidak sedarkan diri dan menghembuskan nafasnya yang terakhir,” katanya.

Loading...
Terkini