comscore
Tumpuan :
Nasional

Usul pinda kewarganegaraan bertentangan usaha melindungi wanita, kanak-kanak – Dominic Lau

Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

GEORGE TOWN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) menyifatkan keputusan kerajaan meneruskan usul meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan bertentangan dengan usaha melindungi kaum wanita dan kanak-kanak bawah umur.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata usul itu meletakkan wanita yang baharu berkahwin terdedah kepada ‘risiko’ dilucutkan kewarganegaraan selain perlu bergantung atas belas ihsan suami jika berlaku penceraian sebelum tempoh baharu dicadangkan iaitu dua tahun dari tarikh wanita berkenaan mendapat kewarganegaraan.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan dan situasi ini seolah-olah memerangkap wanita terlibat dan mengancam mereka tanpa kerakyatan,” katanya.

Tambah Dominic Lau, sebagai negara yang menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-Kanak, ini bermakna agensi kerajaan berkaitan wajib membantu kanak-kanak tanpa kerakyatan menerima bantuan diperlukan misalnya dalam soal kewarganegaraan untuk mendapat kehidupan di Malaysia.

Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai (tengah) bersama Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong (kiri) dan Setiausaha Agung GERAKAN, Loh Kah Yong ketika sidang media di Ibu Pejabat GERAKAN Pulau Pinang, Jalan Macalister, George Town. – FOTO: NSTP

“Jika kita teliti, kebanyakan kanak-kanak tanpa kerakyatan sesuai dengan definisi sebagai rakyat Malaysia kerana mereka bertutur Bahasa Malaysia, mengamalkan adat resam kita dan dalam beberapa kes, kanak-kanak berkenaan tidak dapat menikmati hak kewarganegaraan kerana keadaan di luar kawalan mereka,” kata Dominic Lau.

Dominic Lau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Jawatankuasa GERAKAN Pusat di Ibu Pejabat GERAKAN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata komposisi penduduk di negara ini terutama dengan adanya 3.5 juta warga asing memerlukan kerajaan membuat pindaan kepada Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan yang ketika ini memberi kewarganegaraan kepada kanak-kanak terdampar menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Dominic Lau berkata kerajaan mempunyai kuasa untuk memberi kanak-kanak terdampar di negara ini peluang kedua dalam kehidupan mereka melalui Perkara 15A, dengan mendaftarkan mereka yang berumur di bawah umur 21 tahun selepas mengambil kira keadaan mereka.

Beliau mengakui pemberian kewarganegaraan melalui cara berkenaan adalah tugas sukar namun berpendapat pindaan untuk mengurangkan had umur pendaftaran kewarganegaraan dari 21 tahun kepada 18 tahun adalah perkara sia-sia.

“Ini hanya mengurangkan peluang mereka dalam proses permohonan dan saya melihat tiada pemenang daripada keputusan sedemikian,” katanya.

13 Mac lalu, Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mahu usaha kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan, termasuk status kanak-kanak terdampar, dihentikan atau dikaji semula.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini