comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] CUEPACS masih menaruh harapan akan ada bantuan khas kewangan Aidilfitri

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yakin kerajaan akan meneruskan tradisi pemberian bantuan kewangan khas kepada kakitangan awam sempena perayaan Aidilfitri.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata walaupun Aidilfitri semakin hampir dan kerajaan belum memberi maklumbalas terhadap pemintaan mereka, namun beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

Beliau berkata pemberian bantuan khas perayaan sudah menjadi tradisi sejak 10 tahun lalu, justeru tidak mustahil ia akan berterusan tahun ini.

“Beberapa kerajaan negeri sudah mengumumkan bantuan khas perayaan antaranya Selangor yang memberi bantuan khas Aidilfitri sebanyak sebulan gaji.”

“Selain Selangor, negeri yang sudah mengumumkan bantuan itu ialah Pulau Pinang, Johor dan Perak manakala Sarawak baharu sahaja memberi insentif sistem saraan sebanyak RM2,000.”

Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat menghadiri Program Ihya Ramadhan Bubur Pedas Cuepacs Negeri Sarawak di Pejabat Cuepacs Negeri Sarawak, Jalan Bampfylde, Kuching. – FOTO: NSTP

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Ihya Ramadan Bubur Pedas CUEPACS Negeri Sarawak di Pejabat CUEPACS Negeri Sarawak, Jalan Bampfylde, di sini, hari ini.

Adnan berkata CUEPACS sudah menghantar surat rasmi kepada kerajaan berhubung rayuan untuk mendapatkan bantuan khas kepada kakitangan awam Persekutuan itu.

“Dalam surat itu kita merayu kepada kerajaan supaya mengambil maklum sebagaimana pelaksanaan pemberian bonus di negeri-negeri yang mana ada yang memberi sebulan gaji, dua bulan gaji malah ada yang dua bulan setengah gaji.”

“Tetapi kakitangan awam Persekutuan tidak menerima bonus tahun ini seperti yang diterima kakitangan awam negeri, sebaliknya kita diberi bayaran insentif awal sistem saraan sebanyak RM2,000.”

“Jadi, untuk perayaan Aidilfitri ini kita meminta sekurang-kurangnya kerajaan mempertimbangkan setengah bulan gaji.”

Menurutnya lagi, beliau amat yakin Perdana Menteri prihatian dalam perkara itu apatah lagi dalam situasi penjawat awam berdepan kekangan dengan kuasa berbelanja yang semakin mengecil berikutan kenaikan harga barang keperluan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini