comscore
Tumpuan :
Nasional

UUM metrai MoA bagi penawaran program sarjana dengan UIN Indonesia

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan (dua, kanan) bertukar dokumen MoA dengan Rektor UIN Sunan Ampel Surabaya, Prof. Akh. Muzakki.

Oleh: Kumaran Rajamoney

JAKARTA: Universiti Utara Malaysia (UUM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk menawarkan program pengajian peringkat sarjana di Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Ampel Surabaya dan UIN Raden Fatah Palembang.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama itu membolehkan pelajar warganegara Indonesia yang terpilih untuk mengikuti pengajian di peringkat sarjana di bawah kerjasama akademik antara UUM dan UIN dengan tajaan oleh Kementerian Agama Republik Indonesia (Kemenag).

“Pemilihan UUM ini adalah suatu pengiktirafan buat UUM di arena antarabangsa.”

“Pelajar yang layak akan menerima tajaan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan menimba pengalaman di peringkat antarabangsa dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang holistik, mempersiapkan pemimpin, pendidik dan profesional masa depan buat negara ’Garuda’ itu.”

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan (dua,kanan) dan Rektor UIN Raden Fatah Palembang, Prof. Dr. Nyayu Khodijah (dua, kiri) menunjukkan dokumen MoA yang telah dimeterai

Kumpulan pertama pelajar tajaan Kemenag ini bermula pada kemasukan September 2023.

“Setiap pelajar tajaan Kemenag akan terlebih dahulu mengikuti 1 tahun tempoh pengajian sarjana di UUM dan kemudiannya akan menyambung 1 tahun lagi pengajian sarjana di UIN terlibat.”

“Ia sekali gus melayakkan mereka dianugerahkan dua sijil sarjana dari dua universiti berkenaan sekiranya berjaya melengkapkan pengajian mereka dalam tempoh dua tahun.”

Kerjasama antara UUM dan Kemenag katanya, secara umum melibatkan kerjasama akademik dalam usaha untuk meningkatkan kebolehpasaran program akademik yang ditawarkan oleh UIN.

Pusat pengajian dari UUM yang terlibat dalam kerjasama akademik ini adalah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dan Pusat Pengajian Pendidikan (SOE).

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoA) itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Direktur Jenderal Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Prof. Ir Nizam.

Untuk rekod, pada 29 Mei lalu, UUM telah menandatangani MoU bersama tiga UIN lain iaitu UIN Ar-Raniy Banda Aceh, UIN Mataram dan UIN Sunan Gunung Djati Bandung yang menjadikan keseluruhan lima UIN Indonesia menandatangi MoU dan MoA dengan UUM.

Loading...
Terkini