comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Bayi PKP’ penyumbang peningkatan kes kelewatan pertuturan

 

Oleh Fatin Hanani Sahimi

PUTRAJAYA: Kes kanak-kanak kelewatan pertuturan menunjukkan peningkatan ketara beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya melibatkan bayi yang membesar ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berdasarkan pemantauan pakar, gejala ini tidak hanya kerana kurangnya pendedahan kepada persekitaran luar.

Malah penggunaan gajet yang melampau dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia dua tahun juga menjadi pendorong.

Sejak 2018 hingga 2022, 306,561 pesakit mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, (KKM) dikesan mengalami masalah kelewatan bahasa dan pertuturan.

Dr Mohd Safiee Ismail , Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (KKM).

Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, KKM, Dr Mohd Safiee Ismail yang ditemui tidak menafikan, tempoh berkurung ketika PKP penyumbang kepada peningkatan kes.

“Semasa tempoh tersebut mungkin juga ada antara ibu bapa sepatutnya membawa anak mereka mendapatkan rawatan, namun tidak boleh berbuat demikian disebabkan PKP.

“Hal ini menyumbang kepada peningkatan kes kanak-kanak yang membesar dalam tempoh ini mengalami kelewatan bertutur,” jelasnya.

Senario yang berlaku, ketika PKP lalu kebanyakan ibu bapa terpaksa bekerja dari rumah.

Maka peranti pintar diguna sebagai ‘ubat’ mengalih perhatian anak, agar tidak mengganggu mereka.

Namun silapnya, apabila ia berlebihan dan tidak terkawal menjadi ‘racun’ sehingga merencatkan tumbesaran anak.

“Kanak kanak memerlukan rangsangan, mereka juga memerlukan interaksi antara ibu bapa, oleh itu perlu ada komunikasi dengan anak-anak bukan hanya didedahkan kepada gajet semata,” jelas Dr Mohd Safiee.

Dr Rakhee Yadav Hematram Yadav, Pakar Perunding Pediatrik.

Pakar Perunding Pediatrik, Dr Rakhee Yadav Hematram Yadav, menyenaraikan tujuh punca kelewatan bertutur.

Tegasnya, penggunaan gajet menjadi penyumbang utama, diikuti pengaruh psikologi dan sosial.

Tambahnya tempoh PKP juga mengakibatkan permasalahan tersebut kerana kurangnya pendedahan kepada rakan sebaya dan sekeliling.

“Ketika makan sepatutnya langsung tiada peranti digunakan untuk kanak-kanak yang dibawah dua tahun.

“Kebanyakan ibu bapa sekarang kerap kali menggunakan gajet sewaktu makan sehingga menyebabkan anak-anak tidak dapat fokus pada apa yang dimakan,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata meskipun gejala ini termasuk dalam spektrum autisme, namun, ia masih mampu dirawat.

Justeru, penting bagi ibu bapa mengikuti perkembangan kemahiran komunikasi anak, secara berterusan.

Pengesanan tanda-tanda awal seperti tidak boleh sebut perkataan mudah juga tidak mampu bertindak balas kepada arahan akan dapat membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Beliau menyarankan agar ibu bapa mula bercakap dengan anak seawal kelahiran dengan menggunakan perkataan yang betul, tanpa menggunakan bahasa bayi ( baby language) .

Ibu bapa juga dinasihati memperbanyakkan interaksi dua hala dengan anak, agar si manja mendapat rangsangan bahasa dan sosial secukupnya.

Loading...
Terkini