comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Blockout 2024’: Zahir sokongan, keprihatinan secara bijak & berfakta


Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Kempen memboikot golongan selebriti di media sosial ketika ini meraih perhatian orang ramai.

Gerakan yang dikenali sebagai ‘Blockout 2024’ itu aktif memboikot individu yang didakwa tidak menyatakan solidariti terhadap kekejaman Zionis di Gaza.

Ia tercetus daripada gerakan yang bermula di Amerika Syarikat, susulan penganjuran acara fesyen Met Gala di New York, dua minggu lalu.

Di negara ini, penggerak kempen ‘Blockout 2024 Malaysia’ turut menyenaraikan nama selebriti tanah air untuk diboikot secara terang-terangan.

Tujuannya, antara lain, menghentikan kandungan pemasaran artis yang terkait dengan promosi produk atau jenama yang didakwa menyokong Israel.

WUJUD UNSUR ANCAMAN NYAWA DAN BULI SIBER

Bagaimanapun, objektif gerakan berkenaan seakan tersasar, hingga wujud elemen ancaman dan buli siber terhadap golongan yang menjadi sasaran.

Minggu lalu, penyanyi Naim Daniel menerima komen berbaur ugutan terhadap kedua ibu bapanya, melalui Instagram.

Susulan itu, Naim membuat laporan polis terhadap seorang pengguna akaun media sosial berkenaan.

Artikel berkaitan: Ugut bunuh ibu bapa Naim Daniel, seorang lelaki ditahan

Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel

Bagi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, niat untuk menzahirkan sokongan dan keprihatinan terhadap kesengsaraan di bumi Gaza sangat dialu-alukan.

Namun, adalah keterlaluan jika ia diterjemahkan secara melulu.

“Apa pun kena beradab lah. Sebab itu saya pentingkan sangat, apa-apa yang kita nak tegur biarlah cara beradab. Sebab itu yang diajar dalam agama kita juga. Kita nak marah ke, apa ke, pastikan ia tidak menjatuhkan air muka ataupun memalukan.”


BOIKOT ATAS ASAS KEBENARAN, ILMU & AKHLAK

Isu ini turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau menyeru masyarakat untuk memboikot dengan menggunakan asas kebenaran, ilmu dan akhlak.

“Semua pihak adalah diseru untuk bersolidariti dengan Palestin dengan pelbagai pendekatan tersendiri, termasuk mendoakan kekuatan dan kesejahteraan kepada Palestin.

“Walau bagaimanapun, apa jua tindakan yang diambil termasuk kempen solidariti kepada umat Palestin, perlulah dibuat atas asas kebenaran, ilmu dan akhlak.

“Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama sentiasa menyeru semua pihak agar tidak mengambil tindakan ekstrem kepada mana-mana pihak, apatah lagi ia melibatkan fitnah, mencaci, maki hamun, ugutan dan sebagainya. Semua pihak diseru untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam bermasyarakat,” ujarnya ketika dihubungi Buletin TV3.

TIDAK WAJAR MEMAKSA, TINDAKAN MELAMPAU BOLEH DIBAWA KE MUKA PENGADILAN

Dalam pada itu, pengamal undang-undang, Mahmud Jumaat menegaskan, hak memboikot ada hadnya.

Seharusnya tidak wujud elemen paksaan termasuk ancaman kepada individu yang tidak sealiran pemikiran.

“Pada dasarnya, boikot ini adalah satu tindakan dibawah hak asasi individu untuk mereka bersuara. Boikot ini adalah tidak salah. Ikut perundangan, tiada isu.

“Namun hadnya, jangan melibatkan kerugian atau memprejudiskan mana-mana pihak yang tidak sealiran dengan mereka. Mungkin cara kita berbeza dalam memberi sokongan dan solidariti kita kepada saudara Palestin di sana,” katanya.

Mahmud juga berkata, jika wujud elemen fitnah dan intimidasi jenayah, selebriti yang dijadikan sasaran boleh mengambil tindakan undang-undang.

“Sebagai contoh, artis tersebut tidak memberi sokongan kepada saudara Palestin di sana, walhal beliau ada beri sumbangan dan beliau juga ada buat perkongsian.. Kita pulak tidak menyemak kandungan tersebut ada atau tidak memberi sumbangan kepada Palestin.”

Justeru, jika wujud tuduhan yang tidak berasas dan berbentuk fitnah, mana-mana individu boleh dituduh di bawah Akta Fitnah 1957.

Jika wujud unsur intimidasi jenayah pula, individu boleh dituduh di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah.

INNAMAL A’AMALU BINNIYAT

“Apa yang Islam mahukan ialah hati.”

Demikian penjelasan Timbalan Dekan Jaringan Industri, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Beliau berkata, “Setiap individu, syarikat dan pihak, kerjanya tak sama dan mempunyai maslahat masing-masing. Tapi apa yang Islam nak ialah hati. Innamal A’malu Binniyat.

“Nabi pun beritahu, apa-apa pun, berbalik kepada niat orang tu.

Timbalan Dekan Jaringan Industri, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Tambahnya, “Kenapa dia tak letak gambar? Sebab dia terlibat dengan pihak antarabangsa, jadi dia tak terlibat secara besar-besaran. Ada yang tak letak dalam Instagram dan Facebook, tapi dia orang penting dalam sebuah NGO, cuma tak dimaklumkan sahaja.”

Kesimpulannya, apa jua kempen yang digerakkan, tidak seharusnya menjadikan rakyat negara ini berpecah-belah dan saling bermusuhan.

Hakikatnya, apa yang berlaku di Palestin ketika ini seharusnya menjadi asbab kita rakyat Malaysia untuk terus bersatu-padu dan tidak membenci sesama kita.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini