comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Buli siber: Ada yang anggap sekadar lawak jenaka – MCMC


Oleh: Hilmi Abdul Malik

PETALING JAYA: Sikap terlalu selesa dengan tindakan membuli di alam siber telah membawa kepada peningkatan kes secara berterusan.

Keadaan bertambah buruk apabila wujud pula stigma seolah-olah perbuatan itu hanya umpama lawak jenaka atau bentuk gurauan semata-mata.

Mungkin ada yang tidak sedar, tingkah laku tidak sihat menerusi siber itu mendatangkan impak yang jauh lebih dahsyat berbanding buli fizikal.

Ditambah pula dengan sikap masyarakat yang meluangkan lebih masa di ruangan media sosial, situasi itu sekali gus membuka ruang yang lebih mudah untuk berlakunya kes seumpama itu.

Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yassin

Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yassin berkata, sudah tiba masanya kerajaan meneliti segala aspek undang-undang bagi gejala yang semakin membarah itu.

“Kita perlu mempertimbangkan untuk mengadakan intervensi undang-undang kerana ini akan meningkatkan kesedaran terhadap kes buli siber dan kita tidak mahu sesuatu kes itu hanya sekadar bermusim.

“Perkara ini penting untuk kita tegaskan bahawa isu buli siber ini bukanlah perkara yang main-main kerana apabila seseorang itu berada dalam kemurungan (kesan buli siber), naluri atau keinginan untuk bunuh diri adalah lebih tinggi,” katanya ketika ditemu bual Buletin TV3.

Perbuatan buli di alam siber berlaku secara meluas malah melibatkan pelbagai aspek termasuklah tindakan mengaibkan, menakut-nakutkan, dan lebih membimbangkan, ada yang sehingga membawa kepada bentuk ancaman terhadap seseroang individu.

Untuk rekod, MCMC secara keseluruhannya menerima 9,483 kes membabitkan buli siber bagi tempoh Januari 2022 sehingga Julai 2024.

Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan negeri tertinggi kes iaitu 3,072 diikuti Kuala Lumpur, 1,031 dan Johor sebanyak 826 kes.

Bagi tahun ini sahaja, MCMC telah menerima lebih 1,000 kes membabitkan isu sama dan melihat kepada kedudukan angka ini, ia sememangnya menuntut satu tindakan yang proaktif bagi mengelakkan ia terus melarat.

Realitinya, gejala buli siber sememangnya mendatangkan mudarat kerana tekanan yang melampau akhirnya menyebabkan mangsa memilih jalan pintas dengan membunuh diri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini