comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Fadillah pastikan dua kementerian duduk bincang isu bekalan air Tuaran, projek LRA

Foto: NSTP

TUARAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan memastikan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dan Kementerian Kerja Raya duduk berbincang bagi menyelesaikan masalah bekalan air kritikal di daerah ini serta projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Fasa II.

Beliau yang merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam itu berkata pihaknya telah mendengar taklimat secara terperinci mengenai dua perkara terbabit.

“Projek (pembinaan LRA Telibong Fasa II) secara keseluruhan (telah siap) lebih 70 peratus dan beberapa isu yang perlu kita selesaikan.

“Daripada taklimat tadi, apa yang saya arahkan adalah untuk dua kementerian iaitu kementerian kami bersama KKR dan benerapa agensi terlibat untuk duduk berbincang bagaimana kita cari penyelesaian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek pembinaan LRA Telibong Fasa II yang sedang berjalan itu memerlukan peruntukan tambahan.

“Dua minggu nanti bila ada penyelesaian siap dengan anggaran kos dan sebagainya, kita akan balik kepada kerajaan Persekutuan sebab projek ini adalah melalui pinjaman.

“Jadi kita kena cari jalan bagaimana mencari dana tambahan daripada peruntukan yang ada khususnya dalam bentuk pinjaman itu untuk kita selesaikan.

“Tapi memang Perdana Menteri telah mengamanahkan saya untuk mencari jalan penyelesaian sebab masalah ini agak kritikal bukan sahaja untuk industri.

“Ia juga (melibatkan) penduduk setempat dan kita juga tahu Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempunyai masalah kerana ini (LRA Telibong Fasa II) salah satu yang membekalkan air disana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mendengar taklimat mengenai status LRA Telibong Fasa II, di sini, hari ini.

Selain meninjau LRA Telibong Fasa II, Fadillah turut meninjau projek Pembahagian – Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Gudon/Telipok, Kota Kinabalu dan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog.

Loading...
Terkini