comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ketenangan dan keamanan di selatan Thailand di sebalik konflik

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PATTANI: Konflik bersenjata yang berterusan lebih berdekad lamanya di selatan Thailand, tidak mematahkan semangat rakyatnya yang berketurunan Melayu Islam dalam meraikan Ramadan.

Semangat toleransi yang tinggi masyarakat berbilang agama mencerminkan kehendak mereka yang mendambakan ketenangan yang berterusan.

Selatan Thailand sering kali dilaporkan dengan pelbagai tragedi yang mengganggu ketenteraman awam, sehingga ada yang meragut banyak nyawa orang awam.

Konflik melibatkan pihak pemerintah dan puak pemisah yang memuncak sejak 1994 dilihat terus berlarutan sehingga kini dan tidak pasti bila ia akan berakhir.

Bagaimanapun, Ramadan tahun ini dilihat sebagai bulan rahmat yang memberi keberkatan di samping sebagai waktu terbaik untuk menghentikan seketika persengketaan.

Misalnya, di wilayah Pattani yang juga antara empat wilayah yang mencatatkan majoriti 85 peratus penduduk beragama Islam.

Saya mendapati suasana yang tenang dan aman dalam kalangan masyarakat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Suasana tenang dan aman dalam kalangan masyarakat Pattani di bulan Ramadan

Seperti di Masjid Jamek Pattani, lebih 3,000 umat Islam mengambil kesempatan menunaikan solat sunat tarawih.

“Rakyat Pattani macam biasa. Masjid kita sekarang sembahyang ada ribu-ribu orang terbanyak sekali.

“Bila bulan puasa, semua umat islam dari Pattani ramai sembahyang disini. Ini Pattani sahaja, masjid terbesar di daerah ini,” kata Profesor Dr Domaeng Tote, jemaah Masjid Jamek Pattani kepada Buletin TV3.

Ribuan jemaah menunaikan solat Tarawih di Masjid Jamek Pattani

“Bulan Ramadan bulan barakah, bulan yang saling hormat menghormati, tolong-menolong kerana ajaran agama di bulan ini suatu ajaran yang baik dan bagus.

“Semua sama rasa, sama penat. Seolahnya tiada orang kaya atau miskin. Semua sama. Maka di situ adalah satu perkara yang barakah, bulan yang baik hari yang baik. itu lah kalau kita tengok itu manusia dalam keadaan tenang dan baik,” jelas Imam Masjid Jamek Pattani, Abdul Razak Senik.

Imam Masjid Jamek Pattani, Abdul Razak Senik

Ramadan juga dilihat sebagai bulan untuk menambah pendapatan oleh peniaga yang terdiri daripada masyarakat tempatan.

Mereka turut diberikan kursus pengendalian makanan sebelum memulakan perniagaan bagi menjamin kualiti.

“Ramadan setiap tahun disini disambut meriah. Sebulan sebelum masuk ramadan tu, kami lakukan perlbagai persiapan termasuk persiapan rumah, ibadah apa kita nak buat.

“Selain itu orang agama asing pun seronok sebab boleh makanan yang banyak dan boleh pilih,” kata Busyuroh Usman, pengunjung Bazar Ramadan Cabang Tiga, Pattani.

“Sebulan Ramadan ini dia kena ada ramai-ramai mari jual, tepi-tepi kampung dekat bandar ini jual belaka.

Peniaga di Bazar Ramadan Cabang Tiga, Pattani

Pengerusi Bazar Ramadan Cabang Tiga, Wansom Ismail berkata, “Menjelang hari niaga, mereka didedahkan dengan fungsi mereka sebagai peniaga, jual ini kena tutup apa, kena lalui kursus semua.”

Situasi sama di wilayah Narathiwat.

Perpaduan masyarakat yang terdiri dari pelbagai latar belakang agama menjadi tunggak utama keamanan di wilayah itu.

Menurut Setiausaha Datuk Bandar Narathiwat, Solahuddin Sohoh, kehadiran Ramadan ini menjadi waktu terbaik untuk membina ukhwah sesama mereka.

“Sebelum ini, rakyat yang bukan Islam duduk dengan berukhwah, tetapi berlaku isu-isu itu tetapi bila kita tengok dengan masyarakat asli pun tiada masalah apa dia boleh duduk cari makan.

“Ramadan ini saya jumpa orang agama asing pun dia beri buah tamar dan berikan kepada orang Islam. Orang Islam makanan mereka pun orang bukan Islam, sebab dia kata duduk sini tiada masalah apa bagi orang tempatan sini,” katanya yang ditemui Buletin TV3.

Setiausaha Datuk Bandar Narathiwat, Solahuddin Sohoh

Menerusi semangat yang dipamerkan, kehadiran pelancong asing ke wilayah itu melonjak dan ia manifestasi keyakinan bahawa wilayah ini selamat untuk dikunjungi.

Keadaan aman terutama di bulan Ramadan di selatan Thailand ini nyata menepis dakwaan ia sama sekali tidak selamat untuk dikunjungi.

Walau berdepan pelbagai cabaran, masyarakatnya dilihat optimis dengan semangat kebersamaan mahukan kehidupan yang lebih baik, sekaligus mengharapkan situasi harmoni terus kekal tanpa sebarang konflik yang memudaratkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini