comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Laporan Khas: Lembu, ragut rumput atau nyawa?

Oleh: Hilmi Abdul Malik

MERSING: Kemalangan jalan raya di negara ini masih dilihat membimbangkan apatah lagi apabila ia melibatkan antara manusia dan haiwan.

Tidak dinafikan, bidang penternakan menjadi punca pendapatan bagi pengusahanya tidak kira sama ada di kampung mahu pun bandar.

Permasalahan mula timbul apabila ada pemilik lembu yang mengambil sikap ‘lepas tangan’ kerana haiwan berkenaan dibiarkan berkeliaran tanpa pemantauan.

Sikap sambil lewa itu pula seterusnya mengundang padah berikutan ada pengguna jalan raya yang menemui ajal.

Pemandangan lembu berkeliaran di Mersing, Johor bukanlah satu situasi yang pelik malah keadaan itu juga mungkin telah menjadi pemandangan biasa bagi penduduk setempat.

Bagaimanapun pergerakan haiwan ternakan yang tidak berakal itu sukar diramal, berkeliaran di laluan utama sehingga yang menjadi faktor penyumbang kepada statistik kemalangan.

Isu bertambah rumit apabila pemilik lembu sukar dikenal pasti yang akhirnya menyukarkan proses tuntutan atau ganti rugi.

Menurut salah seorang penduduk, Mohd Yusof Yaacob, beliau mengakui bimbang dengan keselamatan orang ramai khususnya orang luar yang berkunjung ke Mersing.

“Kita risaukan orang orang lalu-lalang apa-apa terjadi sebab kereta kadang-kadang ada yang terbabas, motosikal lagi bahaya boleh sehingga maut.

“Lembu tu haiwan tak berakal jadi pemilik kena fikir apa risiko dia semua khususnya bila berlaku kematian,” katanya ketika ditemui Buletin TV3 baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Simpang Penyabong, Wan Azman Wan Jusoh pula beranggapan, pihak berwajib perlu mengambil tindakan proaktif termasuk dengan menggunakan kaedah penanda pada haiwan ternakan mereka.

“Setakat ini apa yang saya lihat memang tiada (penanda), jadi saya mohon pihak veterinar untuk bekerjasama dengan pihak berkenaan untuk mudah kita kenal pasti siapa pemilik,” katanya.

Isu berkenaan juga telah diajukan kepada pihak Majlis Daerah Mersing dan Pejabat Veterinar Daerah bagi mengemukakan penjelasan.

Bagaimanapun reaksi yang diterima tidak begitu memuaskan apabila isu bidang kuasa masih lagi menjadi kekeliruan kedua-dua pihak.

Dakwa mereka, wujud pelbagai permasalahan melibatkan faktor kos, penggunaan aset, termasuk bebanan tugas sedia ada yang perlu dihadapi.

Situasi itu terus meninggalkan isu berkenaan dalam keadaan tergantung tanpa sebarang penyelesaian yang konkrit.

Di samping isu lembu berkeliaran, wujud juga beberapa faktor lain seperti laluan jalan raya gelap di beberapa kawasan yang seterusnya menyumbang kepada faktor kemalangan.

Keadaan itu mengakibatkan ada yang terpaksa pulang bekerja ditemani kegelapan dan dikejutkan dengan kemunculan lembu secara tiba-tiba.

Setiap kali berlakunya kemalangan sama ada meragut nyawa atau mendatangkan kecederaan, persoalan terus timbul… siapakah pemilik lembu-lembu ini?

Realitinya, isu seumpana ini bukan hanya berlaku di Mersing sebaliknya wujud juga di beberapa kawasan lain.

Sekiranya tiada penyelesaian yang tuntas, adakah kita sekadar membiarkan angka korban terus meningkat dan mangsa atau waris keluarga dibiarkan tanpa sebarang pembelaan?

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini