comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PADU jamin penyaluran subsidi, tingkat celik digital rakyat

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) menjamin penyaluran subsidi dan manfaat kepada penerima yang berhak, sekali gus mengurangkan ketirisan yang mencecah berpuluh bilion ringgit sebelum ini.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem yang diperkenal selaras dengan pendekatan dan dasar transformasi digital itu juga mampu merapatkan kesenjangan serta meningkatkan kecelikan digital rakyat.

“Contoh telah diberikan, bila disebut penyasaran subsidi, ia tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa pendekatan PADU dan transformasi digital kerana belanja oleh kerajaan umumnya termasuk beberapa perkiraan perbelanjaan dalam semua bidang kementerian, untuk membantu rakyat miskin terutama di desa, pedalaman, nelayan, petani, pekebun kecil dan pekerja bandar itu mencecah sehingga RM22 bilion.

“Dalam semua kajian menyatakan tidak sampai sepenuhnya (subsidi) kepada kumpulan sasar. Subsidi yang diberikan kerajaan diperkirakan dengan nilai ringgit sekarang, itu mencecah RM80 bilion dan tidak mungkin Malaysia bertahan mengurus kewangan belanjawan negara kalau hal ini tidak dapat diperbaiki.

“RM80 bilion itu kalau sampai ke semua kepada rakyat satu hal, tetapi seperti yang kita tahu 3.5 juta bukan warganegara memperoleh manfaat yang tentunya kalau dikumpul semua mencecah RM10 bilion. Penyasaran subsidi tanpa pendekatan digital terutama PADU akan menyebabkan golongan paling kaya dapat manfaat,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. – FOTO: NSTP

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; barisan Jemaah Menteri; Timbalan-Timbalan Menteri; Ketua Menteri; Menteri Besar serta pengurusan tertinggi kerajaan.

Pada masa sama, Anwar dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini turut meminta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memantau teliti pelaksanaan PADU supaya mencapai matlamat.

Sementara itu, ujar beliau, negara tiada pilihan selain melaksanakan transformasi digital yang disifatkannya kritikal dan mendesak dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi, bersaing dengan negara lain dan menjamin kemampanan Malaysia.

“Kita nak bangunkan bukan saja PADU, kita bangunkan sistem negara yang lebih canggih, yang mampu bersaing. Ia memerlukan tekad baharu dan jangan tolak ansur kerana tanpa PADU terlalu banyak ketirisan, tanpa PADU pelaksanaan berkesan terlalu banyak kebocoran dan penipuan. Kalau tidak, tidak ada sebab mengapa masih ada kelompok yang dianggap miskin dalam negara kita kalau belanja bantu orang miskin itu RM22 bilion dan subsidi RM80 bilion. Ada sesuatu yang tidak betul,” katanya.

PADU adalah sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

Objektif PADU ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data, selain membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar mulai hari ini dan membuat semakan data di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini