comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

[VIDEO] Perantau buru kuih ‘bolok’ merabang

BACHOK: Penghujung Ramadan menyaksikan kuih tradisional, ‘bolok’ Kampung Merabang yang diwarisi tujuh generasi terus menjadi buruan orang ramai.

Kuih ‘bolok’ atau turut dipanggil tepung gomak itu diusahakan Ibrahim Yunus, 62 sambil dibantu adik beradik serta adik iparnya di rumah mereka di Kampung Merabang.

Ibrahim berkata mereka hanya membuat dan menjual kuih itu pada bulan Ramadan memandangkan kesukaran mencari kelapa muda untuk dibuat isi kuih.

Katanya, biasanya mereka akan membuat 500 biji kuih ‘bolok’ setiap hari.

“Awal Ramadan biasa, kami habis jual kuih kurang dua jam, tapi di penghujung Ramadan ini, pelanggan perlu membuat tempahan dahulu kerana permintaan sangat tinggi.”

Tambahnya, beliau masih menghadkan jualan setakat 500 biji sehari untuk jaga kualiti kuih selain inti kuih iaitu kelapa muda dan gula perlu dimasak sehingga lima jam.

Adik iparnya, Noor Iman berkata proses membuat kuih ini sendiri juga memakan masa bermula dengan membuat isi kuih, kemudian mengisar halus beras pulut untuk digolek ke atas kuih yang sudah diuli berbentuk bulat.

Katanya, cabaran utama adalah isi kelapa muda perlu dipastikan benar-benar ‘muda’ bagi memastikan tekstur kuih adalah lembut dan tidak berketul.

“Kita gunakan 30 hingga 40 biji kelapa muda setiap hari dan masak isi kelapa ini dalam dua kawah tembaga khas kerana kalau kuali atau periuk biasa, isi kelapa jadi hangus.”

Pembuat kuih tradisional, ‘bolok’ atau tepung gomak, Noor Iman Kamaruddin tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan di Kampung Merabang, Bachok. – FOTO: NSTP

Noor Iman berkata kuih bolok mereka diwarisi daripada nenek moyang terdahulu dan diteruskan sehingga kini setiap kali bulan puasa.

Katanya, kuih itu mampu bertahan dua hingga tiga hari selain sangat sesuai dimakan semua peringkat umur termasuk kegemaran warga emas kerana isinya yang lembut.

Perantau, Nurul Syuhaida Awang, 40 berkata setiap kali pulang ke kampung dia dan suami, Mohd Zulafnizam Rajab, 47 tidak akan melepaskan peluang membeli kuih bolok merabang.

Katanya, dia menjadi pelanggan sejak usia remaja lagi memandangkan rumah keluarganya di Kampung Panjang, Perupok tidak jauh daripada tempat pembuatan kuih itu.

“Bila balik kampung, awal pagi lagi saya akan ke sini untuk beli kuih Bolok, kalau lambat nanti habis, kuih buatan mereka semua sedap dan saya takkan lepaskan peluang menikmati kuih yang hanya muncul sekali setahun ini.”

Selain tepung gomak, Noor Iman dan keluarga turut membuat kuih akok, nekbat, puteri mandi, sangumpal, koleh kacang dan kerabu sarang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini