comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Strok Haba: Zoo Negara pantau haiwan berisiko secara intensif

 

Oleh Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA: Haiwan yang terdedah kepada ekosistem serta persekitaran panas, berisiko mendapat strok haba terutama ketika cuaca panas melampau yang melanda beberapa kawasan ketika ini.

Seperti manusia, strok haba juga boleh merosakkan organ dalaman haiwan selain meragut nyawa sekiranya tidak mendapat rawatan segera.

Justeru, pemantauan secara intensif penting bagi menjamin kesihatan serta kebajikan haiwan sekaligus mengelakkan risiko diserang strok haba.

Perkara itu antara inisiatif berterusan dilakukan Zoo Negara ketika ini. Menempatkan lebih 3500 haiwan daripada 295 spesies sememangnya satu tugasan mencabar buat kakitanganya dalam menyediakan habitat yang selamat dan kondusif kepada penghuninya.

Lebih-lebih lagi, haiwan yang dipamerkan secara terbuka dan 24 jam terdedah kepada sebarang bentuk cuaca tidak menentu.

Antara simptom haiwan yang mengalami strok haba ialah jantung berdegup pantas, kesukaran bergerak, menghasilkan banyak air liur dan gusi biru akibat kekurangan oksigen.

Suhu badan juga boleh mencecah melebihi 42 darjah celsius, namun cuaca panas sebelah pagi sehingga tengahari, disusuli hujan pada waktu petang di ibu negara mengurangkan risiko haiwan mendapat strok haba.

Pengarah Zoologi, Hospital dan Perkhidmatan Veterinar dan Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli.

Pengarah Zoologi, Hospital dan Perkhidmatan Veterinar dan Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli berkata, walaupun keadaan ketika ini tidak membimbangkan, pelbagai langkah pencegahan dan kesiap-siagaan menghadapi cuaca panas ekstrem tetap dilakukan secara berperingkat.

Pasukan perubatan juga dilatih untuk memberikan rawatan segera kepada haiwan yang didapati mempunyai simptom.

“Dari segi cuaca pulak cuaca panas ni kita tak nampak lagi kesan kepada haiwan kita dan 3, 4 jenis haiwan yang terdedah 24 jam kepada cuaca luar ni pun ada yang sekarang masih lagi beranak, membiak dan kita harap ini akan berterusan lah.

“Kita memastikan bekalan air yang cukup kalau kawasan tu kering kita basahkan permukaan pameran dan kawasan yang berkolam kita akan pastikan kolam yang penuh dengan air kita dapati akan ada haiwan-haiwan yang akan selalu akses kepada kolam tersebut lah,” katanya.

Keadaan geografi zoo yang dikelilingi pokok rimbun juga sedikit sebanyak membantu haiwan untuk berteduh dan berlindung dari cuaca panas.

Pihak zoo negara sentiasa memantau rapi haiwan berisiko supaya sentiasa sihat serta terpelihara.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmad Lana.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmad Lana pula memaklumkan, pihaknya sentiasa memantau keadaan terkini setiap haiwan.

“Kalau ada berlakunya panas yang melampau atau ekstrem kita akan perhatikan samada haiwan-haiwan berkenaan layak atau tak layak dipamerkan kepada public jadi biasanya kita akan lihat kesihatan dulu dia cukup makan habis makanan dia cukup berehat dan juga melihat kepada najis dia seperti biasa jadi kita tak perlu bimbanglah”.

Malah pihaknya juga sudah tidak menggunakan air sungai untuk diminum haiwan seliaanya.

“Sekarang kita telah upgrade mendapat air daripada sumber paip kerajaan yang ada jadi kebersihan tu terjamin”.

Ternyata cuaca panas juga tidak menghalang kemasukan pengunjung malah jumlahnya juga semakin meningkat.

Selain haiwan di zoo, haiwan peliharaan di rumah seperti kucing dan anjing juga berisiko mendapat strok haba.

Sehubungan itu pastikan suhu semasa haiwan sentiasa dipantau serta sediakan bekalan minuman yang mencukupi selain sistem pengudaraan yang baik.

Sekiranya binatang anda mempunyai sebarang simptom seperti keletihan, degupan jantung yang laju dan berada dalam keadaan yang tidak keruan, segera bawa mereka ke klinik veterinar bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut laporan.

Loading...
Terkini