comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir Kilat : Zoo Negara rugi ratusan ribu ringgit

 

Oleh:  Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

AMPANG : Dianggarkan 296 spesis dan 3,454 spesimen haiwan termasuk seekor kucing ‘oyen’ terselamat dari menjadi mangsa banjir yang melanda di Zoo Negara, Ampang, Selangor, semalam.

Bagaimanapun kira-kira 50 orang pengunjung yang dilaporkan terperangkap di kawasan tersebut telah dibawa keluar oleh pihak petugas dengan menaiki lori dan traktor.

Tinjauan mendapati, pengoperasian zoo dibuka seperti biasa walaupun kerja-kerja pembersihan lumpur banjir di kawasan terjejas giat dilakukan.

Kawasan yang berkeluasan 63 hektar itu dilanda banjir kilat lebih satu jam bermula 5 petang semalam.

Selepas banjir surut sekitar jam 6.30 petang, kerja-kerja pembersihan terus dilakukan bagi memastikan keselamatan haiwan terjamin.

Bagaimanapun, seekor haiwan jenis Capybara didapati terlepas dari kandangnya dan berjaya dibawa masuk semula oleh 20 petugas setengah jam kemudian.

Menurut Timbalan Presiden Zoo Negara, Datuk Rosly Lana,  banjir tersebut tidak seteruk seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

 

“Boleh dikatakan setahun sekali banjir ini berlaku. Kadang-kadang ada setahun dua sekali.

“Sebelum ini kita tak bersedia, jadi agak kelam kabut. Sekarang kalau ada apa-apa boleh menyelamatkan haiwan kita.” katanya ketika membuat tinjauan bersama Buletin TV3 di sini, siang tadi.

Dalam kejadian tersebut, kawasan zoo dinaiki air setinggi paras pinggang, selain pejabat pengurusan turut dinaiki air kira-kira 2 kaki tinggi.

Tambah Datuk Rosly, limpahan air Sungai Kemensah dan sebatang anak sungai berhampiran didakwa menjadi punca air naik di kawasan itu.

Kerja pembersihan dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk Balai Bomba Sukarela Gombak dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Kami keluarkan tiga jentera kami termasuk water tanker dan seramai 15 anggota pasukan kami.

“Sebelum ini kami ambil air sungai sebab tiada pili berdekatan. Alhamdulillah hari ini dapat bantuan dari water tanker kami so tiada masalah air.” ujar Ketua Balai Bomba Sukarela Gombak, Mohd Faizal Adnan.

Difahamkan, terdapat juga kerosakan pada struktur bangunan yang dianggarkan kira-kira ratusan ribu ringgit.

Zoo Negara ketika ini yang masih menempatkan sepasang beruang panda China, dibuka seperti biasa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini