comscore
Tumpuan :
Nasional

Tular: Polis siasat anggota tentera pukul isteri

FOTO: Tangkap layar video tular

MELAKA: Polis membuka kertas siasatan berkaitan video tular seorang anggota tentera memukul isterinya dalam kejadian di sebuah flat di Sungai Udang.

Video berdurasi 32 saat itu tular sejak semalam menerusi satu hantaran dengan pautan di aplikasi X.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 15 Disember lalu dan satu laporan polis juga diterima daripada seorang wanita berusia 38 tahun kerana dipukul suaminya.

“Siasatan juga mendapati suami mangsa yang berusia 25 tahun bekerja di sebuah kem di Sungai Udang dan kejadian itu berlaku di sebuah flat di kawasan berkenaan.

“Polis sudah memanggil lelaki itu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan mangsa,  satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, video tular memaparkan suara seorang wanita merayu-rayu supaya suaminya bertenang dan menyelesaikan isu antara mereka secara baik.

”Abang janganlah abang… tak nak… sakit, tak nak…,” katanya.

Bagaimanapun, suaminya yang memakai uniform lengkap tetap berkeras dan menjerit mengarahkan isterinya masuk ke rumah dengan suara yang tinggi.

Lelaki itu didakwa turut mengugut untuk membunuh isterinya dan kelihatan memegang sesuatu dan mengacukan kepada mangsa.

Menerusi klip sama, beberapa jiran dilihat cuba menenangkan keadaan, namun tidak dihiraukan lelaki berkenaan.

Loading...
Terkini