comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita dakwa tiada kad pengenalan, sudah dihubungi JPN 

PETALING JAYA: Orang ramai diminta tidak mensensasikan isu kesukaran seorang wanita mendapatkan kad pengenalan seumur hidupnya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, tindakan tersebut dikhuatiri memberi tanggapan buruk dan tidak benar perkhidmatan awam, sedangkan pihaknya sentiasa memastikan Perlembagaan Persekutuan menjadi keutamaan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab.

JPN juga memaklumkan pihaknya telah menghubungi wanita berkenaan untuk mendapatkan fakta kes mengenai permohonan sebenar dan penelitian sewajarnya sedang dibuat.

“JPN memohon agar orang ramai tidak mensensasikan perkara ini dan seterusnya memberikan tanggapan yang tidak benar kepada perkhidmatan kerajaan.

“Orang ramai yang mempunyai masalah bukan sahaja mengenai kewarganegaraan namun pelbagai perkhidmatan lain seperti pendaftaran lewat kelahiran, masalah cap ibu jari, sijil pengangkatan anak angkat, prosedur perkahwinan bukan Islam dan lain-lain boleh hadir terus ke mana-mana 212 pejabat JPN di seluruh Malaysia untuk dibantu.

“Pemohon dinasihatkan hadir sendiri tanpa menggunakan khidmat ejen atau orang tengah kerana setiap permohonan dan masalah individu mungkin memerlukan penyelesaian berbeza,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi kisah seorang wanita dinamakan ‘Melissa’ yang dilahirkan di Pulau Pinang dan fasih berbahasa Melayu namun tidak mempunyai kad pengenalan warna biru di usia 21 tahun.

Perkongsian itu mendapat perhatian banyak pihak di media sosial dan mendapat hampir 1,000 perkongsian pengguna di Facebooknya.

Loading...
Terkini