comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Warga emas maut dirempuh pacuan empat roda

GUA MUSANG: Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh pacuan empat roda di Jalan Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang, pagi tadi.

Mangsa, M Noor Awang, 67, yang merupakan peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Jeram Tekoh, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Jeram Tekoh.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.10 pagi itu berpunca dari pemandu pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm, gagal mengawal kenderaan lalu memasuki laluan bertentangan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa memandu dari Kampung Jeram Tekoh menuju ke Kampung Baru Jeram Tekoh.

“Ketika tiba di tempat kejadian, pemandu pacuan empat roda yang berumur 41 tahun hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar mangsa.

“Mangsa diseret sejauh 7.3 meter hingga merempuh sebuah rumah di sebelah kanan jalan.

“Mangsa dibawa ke klinik untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 11.50 pagi. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya.

Tambah Choon Foo, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kehilangan darah ekoran kecederaan parah akibat rempuhan itu.

“Hasil saringan air kencing terhadap pemandu pacuan empat roda mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau.

“Suspek ditahan dibawah Sek. 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dibawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Loading...
Terkini