comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas nekad tidur dalam khemah risau pencuri masuk rumah

Keadaan rumah Abdul Mukti di Batu 9 Simpang Tiga, Changkat Jong yang dinaiki air sejak Isnin lalu. -Foto: NSTP

TELUK INTAN : Pasangan suami isteri warga emas mangsa banjir di Batu 9 Simpang Tiga, Changkat Jong di sini, nekad tidur dalam khemah di tepi Jalan Changkat Jong-Teluk Intan walaupun dinasihat pihak berkuasa supaya berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Pasang Tembak.

Abdul Mukti Katiman, 72, dan isteri, Saodah Sahdan, 71, berbuat demikian sejak kelmarin kerana mahu mengawasi rumah mereka daripada dipecah masuk pencuri.

Abdul Mukti dan isteri, Saodah nekad tinggal dalam khemah di tepi Jalan Changkat Jong-Teluk Intan, bagi mengawasi rumah yang dimasuki air daripada geng pecah rumah. – Foto NSTP

Menurut Abdul Mukti, pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ada menasihatkan mereka berpindah ke PPS.

Namun, dia dan isteri berat hati untuk berpindah kerana risaukan keselamatan harta benda dan rumahnya sekiranya ditinggalkan.

“Malam rumah kena banjir, kami tidur di rumah anak berdekatan tapi esoknya saya buat keputusan untuk pulang dan buat khemah.

“Kami diminta berpindah ke PPS, tapi jaraknya agak jauh 14 kilometer dari rumah. Kalau barang-barang dalam rumah hilang bagaimana?

“Biarlah bising lori lalu-lalang sekali pun, yang penting rumah dan harta benda terjaga. Harap banjir ini surut segera,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mengenai banjir yang melanda petang Isnin lalu, Abdul Mukti yang mempunyai tujuh cucu berkata air naik mendadak sehingga kereta dan perkakas elektrik seperti peti ais dan mesin basuh tidak sempat diselamatkan.

Dia yang menghidap masalah pundi kencing turut hilang punca pendapatan apabila gerai menjual burger miliknya tidak dapat beroperasi kerana dijadikan tempat berteduh.

Sementara itu, Saodah meluahkan harapan supaya pihak berkuasa dapat mencari jalan penyelesaian isu banjir yang menurutnya berlaku setiap tahun dan semakin memburuk.

Dia yang mengidap kanser payudara sejak setahun lalu memaklumkan perlu menjalani pemeriksaan tiga minggu sekali di Hospital Putrajaya, namun kereta milik suaminya kini ditenggelami air.

Loading...
Terkini