comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Perak meningkat

Foto: Ihsan APM Perak

TELUK INTAN: Mangsa banjir di Perak merekodkan peningkatan malam ini apabila seramai 221 orang daripada 69 keluarga terpaksa dipindahkan ke tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS).

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak memaklumkan setakat jam 8 malam tadi, dua PPS baharu dibuka iaitu PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap di daerah Hilir Perak dan PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di daerah Kerian, selain PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, di sini yang beroperasi sejak semalam.

Berdasarkan laporan itu juga, berlaku pertambahan jumlah mangsa berbanding jam 3 petang tadi yang merekodkan 150 orang daripada 48 keluarga.

“Bagi daerah Hilir Perak, seramai 182 mangsa daripada 59 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, sementara 20 mangsa baharu daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS Dewan MPTI Langkap.

“Kawasan yang terjejas disebabkan air Sungai Bidor melimpah meliputi Lorong Kedah; Lorong Belakang Klinik; Batu 9 Simpang Tiga; Batu 7; Batu 9; Batu 10; dan Lorong Sidang Osman.

“Kerian menjadi daerah baharu merekodkan pemindahan penduduk yang terjejas di Kampung Matang Tengah melibatkan seramai 19 orang daripada tiga keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS SK Changkat Lobak,” katanya.

Loading...
Terkini