comscore
Tumpuan :
Nasional

Wisma Putra pantau gempa bumi di Peru

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru sedang memantau rapat perkembangan susulan bencana gempa bumi dengan magnitud 7.2 yang melanda republik itu pada jam 12.36 pagi waktu tempatan, hari ini.

Wisma Putra memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Lima sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan berhati-hati dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Lima di alamat Av. General Juan Antonio Pezet 1750 San Isidro Lima.

Selain itu, mereka juga boleh menghubungi di talian (511) 422 0297/ (511) 441 1939/ (511) 441 0795 atau e-mel ke [email protected]/ [email protected].

“Sebarang perkembangan terkini mengenai kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan, gempa bumi yang melanda pantai tengah Peru iaitu 8.8 kilometer dari daerah Atiquipa.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memberitahu, gegaran kuat akibat gempa mungkin akan dirasai di kawasan berhampiran pusat gempa.

Dalam pada itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik sebelum ini berkata, ‘gelombang tsunami berbahaya diramalkan berlaku di beberapa pantai’ tetapi kemudiannya berkata ancaman itu sudah reda.

Peru yang didiami kira-kira 33 juta penduduk, terletak di Lingkaran Api Pasifik adalah kawasan luas aktiviti seismik intensif yang berada di sepanjang pantai barat Amerika.

Peru dilanda ratusan gempa bumi yang dapat dikesan setiap tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini