comscore
Tumpuan :
Nasional

Zambry ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak G77+China

Foto Fail Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan mewakili Perdana Menteri untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan Kumpulan 77 dan China (G77+China) dari 15 hingga 16 September ini di Havana, Cuba.

Beliau dijangka menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia semasa Perbahasan Umum yang antara lain akan mengetengahkan pemacu dan minat Malaysia dalam bidang Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), perubahan iklim, jurang digital, serta kerjasama Selatan-Selatan dalam sains, teknologi dan inovasi.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata sidang kemuncak bertemakan “Current Development Challenges: The Role of Science, Technology and Innovation” itu akan menjadi peluang bagi Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan mengenai cabaran utama dan isu pembangunan teras di Selatan.

“Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan G77+China ini menunjukkan komitmennya terhadap kerjasama Selatan-Selatan, dalam usaha bersama untuk masa depan generasi akan datang yang mampan,” menurut kenyataan itu.

Zambry juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari beberapa Negara Anggota G77+China.

Foto Reuters

G77+China ialah organisasi antara kerajaan terbesar dalam kalangan negara membangun di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyediakan platform bagi negara-negara Selatan untuk menyuarakan, mempromosi dan memajukan kepentingan ekonomi secara kolektif serta kerjasama untuk pembangunan.

Malaysia antara ahli pengasas kumpulan itu.

Semasa Sidang Kemuncak itu, dokumen bertajuk “Havana Declaration on Current Development Challenges: The Role of Science, Technology and Innovation” dijangka diterima pakai. – BERNAMA

Loading...
Terkini