comscore
Tumpuan :
Nasional

Zoo Johor bakal dibuka semula April ini – Onn Hafiz

FOTO: Onn Hafiz Ghazi/ Facebook

JOHOR BAHRU: Zoo Johor yang kini ditutup bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf fasa satu akan dibuka semula kepada orang ramai pada April ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata zoo yang akan berwajah baharu itu bakal menjadi antara daya tarikan di Johor sekali gus meletakkan negeri ini sebagai destinasi pilihan utama pelancong.

“Menerusi lawatan hari ini, saya dimaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan meliputi lima zon utama iaitu balai ketibaan, pintu masuk utama, pekarangan, sebahagian sangkar burung serta tempat penyediaan makanan haiwan yang baharu.

“Kerja-kerja penyelenggaraan ini dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

FOTO: Onn Hafiz Ghazi/ Facebook

Beliau berkata kerajaan negeri akan sentiasa komited untuk memperkukuh dan memperbaiki kualiti perkhidmatan dengan menambah baik segala infrastruktur dan kemudahan pelancongan bagi menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan terbaik di rantau ini.

Baru-baru ini, kerajaan negeri menerima peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi kerja-kerja menaik taraf zoo itu.

Zoo Johor yang terletak di pusat bandar raya ini, mula dibuka pada 1928 dan merupakan zoo tertua negara dengan keluasan 12.5 hektar serta mempunyai lebih 100 spesies haiwan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini