comscore
Tumpuan :
Negeri

Hospital Machang Hadapi Gangguan Air

KOTA BHARU : Hospital Machang mengalami gangguan bekalan air sejak kelmarin berpunca daripada kerosakan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bagan Machang.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, siasatan awal mendapati hospital mengalami gangguan bekalan air pada tangki utama sejak Isnin lalu yang berpunca daripada kerosakan di LRA itu.

Bagaimanapun katanya, pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menghantar bekalan ke Hospital Machang bagi mengatasi masalah gangguan berkenaan dengan mengisi simpanan air di tangki simpanan utama hospital itu.

“Kita amat prihatin terhadap isu permasalahan air yang berlaku di Hospital Machang sebagaimana yang ditularkan dalam media sosial sejak semalam.

“Susulan daripada itu, bekalan air sudah kembali pulih pada petang semalam secara berperingkat dan kadar kekeruhan air juga semakin pulih,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Zaini turut menegaskan perkhidmatan dan pengurusan pesakit di dalam hospital tidak terganggu akibat masalah bekalan air itu.

“JKNK merakamkan kekesalan diatas kesulitan yang dihadapi dan berterima kasih atas tindakan segera yang diambil oleh pihak Hospital Machang, Perkhidmatan Sokongan Hospital (Redicare) dan AKSB yang mengambil tindakan segera bagi mengatasi gangguan air berkenaan.

“Pihak kami sentiasa berusaha dan mengambil langkah penambahbaikan bagi meningkatkan keselesaan serta kualiti penjagaan pesakit,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berlaku gangguan bekalan air di hospital berkenaan termasuk air keruh menyebabkan berlaku kesukaran dalam kalangan pesakit serta pelawat hospital terbabit.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini