comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pekerja Stesen Minyak Jual Kad NFC TNG 5 Kali Ganda Dalam Talian

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA : Seorang pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak antara yang dikesan menjual secara dalam talian kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Touch ‘n Go (TNG) dengan harga berlipat kali ganda.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, individu berkenaan didapati menjual sekeping kad NFC yang asalnya berharga RM10 (tanpa ada sebarang kredit di dalamnya) pada kadar lebih lima kali ganda, menerusi platform pasaran dalam talian.

“Penjualan kad NFC TNG sejak April tahun ini mengundang polemik dalam kalangan rakyat apabila rata-rata mengadu bahawa ia sukar didapati berikutan bekalan yang terhad di semua saluran seperti diuar-uarkan.

“Mengikut makluman sebelum ini, saluran yang dihebahkan kepada orang ramai adalah pembelian kad berkenaan boleh dibuat sama ada secara datang terus ke premis stesen minyak terpilih atau menerusi transaksi dalam talian, menggunakan aplikasi TNG,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesukaran mendapatkan bekalan menerusi dua saluran sedemikian bagaimanapun menyaksikan wujud penjualan kad NFC di beberapa platform pasaran dalam talian sejak kebelakangan ini, dengan harga yang berlipat kali ganda.

Sehubungan itu, jelasnya, tindakan berkenaan membangkitkan persoalan mengenai kemampuan segelintir penjual yang berupaya mendapatkan bekalan kad NFC secara mudah.

Mengulas lanjut, menurutnya, bagi tempoh dari April hingga 25 September lalu, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima empat aduan rasmi mengenai kad NFC, selain mengesan 13 iklan jualan membabitkan beberapa platfrom dalam talian.

“Berdasarkan semakan dan maklumat daripada pengelola platform pasaran dalam talian, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes sama.

“Pasca pemeriksaan awal, sebanyak enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pihak terbabit, yang antara lain menuntut supaya maklum balas atau penjelasan rasmi perlu dikemukakan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP.

“Kegagalan berbuat demikian, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas,” katanya.

https://youtu.be/Yjg-n5wUU_A

Susulan itu, Datuk Seri Alexander berkata, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP dan pengurusan kanan kementerian akan mengadakan pertemuan dengan syarikat TNG yang dijangka berlangsung minggu ini.

Pertemuan berkenaan antara lain bertujuan untuk mendapatkan status kaedah semasa penjualan dan isu kekurangan bekalan kad NFC seperti dikemukakan ramai pengguna.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan aduan dan maklumat kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP berhubung isu sama untuk tindakan lanjut.

Aduan boleh disalurkan menerusi WhatsApp 019-2794317/019-8488000; Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; Emel [email protected]; dan aplikasi Ez ADU KPDNHEP.

“Sebarang perkembangan mengenai hasil pertemuan antara KPDNHEP dengan syarikat TNG akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Loading...
Terkini