comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] 600 ahli Bersatu Rantau Abang keluar parti, sertai UMNO 

 

DUNGUN: Lebih 600 ahli Bersatu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang di sini mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO semalam.

Tindakan sirih pulang ke gagang itu telah menyebabkan semua cawangan Bersatu di DUN tersebut ditutup sepenuhnya dan kesemuanya membuat keputusan sendiri tanpa campur tangan dari pihak lain setelah dua tahun menjadi ahli parti itu.

Bekas Pengerusi Penyelaras Bersatu Rantau Abang, Anwar Rosli berkata, tindakan tersebut dibuat setelah meneliti senario situasi politik semasa dan kesemuanya merasakan telah dipinggir oleh kepimpinan tertinggi parti DUN berkenaan yang tidak mengambil berat terhadap setiap permasalahan mereka.

Menurut Anwar, Bersatu cawangan berkenaan dibubar dengan sendirinya apabila sedikit demi sedikit ahli bertindak keluar tanpa menyertai mana-mana parti dan kebanyakan yang keluar parti itu melibatkan ahli yang tinggal di kawasan Pusat Daerah Mengundi Balai Besar, Gong Pasir dan Taman Permint Indah.

Jelasnya, keputusan untuk kembali ke BN dibuat kira-kira tiga bulan lalu apabila kesemua ahli mengisi borang keahlian UMNO sebelum diserahkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO Bahagian Rantau Abang.

“Kita ni terdiri dari banyak ahli-ahli yang susah, jadi, UMNO banyak membantu, pihak – pihak kami di dalam, menyelesaikan masalah – masalah kebajikan, masalah keperluan asas kepada ahli – ahli kami, jadi, kami melihat perkara itu, lebih memberi perhatian kepada kami untuk, menyokong UMNO lah, selepas dipinggirkan oleh pimpinan Bersatu dan juga kerajaan negeri.

“Jadi kami rasa tidak perlu lagi untuk bersama parti yang mengabaikan kebajikan ahli, kami dipinggirkan, jadi kami sebulat suara tanpa paksaan mana-mana pihak, kami membuat keputusan untuk kembali semula bersama BN,”katanya.

Pada majlis ringkas itu bekas Ketua Bersatu Cawangan Balai Besar Jalaluddin Mohd Zin telah menyerahkan  borang bekas ahli Bersatu yang memohon untuk kembali menyertai UMNO kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Nur Hisyam Johari.

Anwar berkata hanya Barisan Nasional , BN sahaja yang boleh membela nasib rakyat kerana kesemua ahli sebelum ini adalah merupakan bekas ahli BN yang bertindak keluar dari parti tersebut atas sebab-sebab tertentu.

“Kami nekad selepas ini tidak akan meninggalkan BN dan membantu berkempen bagi memastikan calon N26 Rantau Abang, Mohd Asri Mohamad menang pada pilihanraya Sabtu ini,” katanya.

Jelasnya ramai lagi ahli Bersatu khususnya di daerah Dungun akan mengikut jejak langkah mereka meninggalkan parti itu dan menyertai UMNO dalam masa terdekat.

Loading...
Terkini