comscore
Tumpuan :
Nasional

Anak Penyu Berkepala Dua Diberi Nama ‘Hope’ dan ‘Faith’

FOTO: NSTP

DUNGUN: “Kita berharap anak penyu (agar) ini hidup lama dan terus bertahan,” kata Pengurus Projek Konservasi Lang Tengah Turtle Watch di Tanjung Jara, Adibah Zaaba.

Adibah berkata, anak penyu berkepala dua itu yang dijaga rapi di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Rantau Abang kini sangat aktif.

Menurutnya, reptilia yang ditemukan di pusat penetasan penyu di Tanjong Jara Resort pada 30 Ogos lalu diberi nama ‘Hope dan Faith’.

Anak penyu berkepala sebelah kiri digelar Hope manakala kepala sebelah kanan digelar Faith yang bermaksud takdir dan kepercayaan.

“Kami menaruh kepercayaan yang besar supaya anak penyu ini membesar dan hidup dengan lebih lama,” katanya ketika ditemui di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Rantau Abang, di sini.

Menurutnya, anak penyu berkepala dua itu dianggarkan sepanjang empat sentimeter ketika ditemui, dan kini panjangnya bertambah satu sentimeter dengan lebar enam sentimeter serta berat 40 gram.

“Anak penyu berkepala dua yang jarang ditemui itu biasanya tidak dapat hidup dengan lebih lama, namun kita berharap semua pihak berdoa agar anak penyu itu hidup dengan lebih lama.

“Berdasarkan penemuan anak penyu berkepala dua sebelum ini di Pulau Redang dan luar negara, jangka hayatnya tidak lama kerana mampu bertahan dua hingga tiga bulan sahaja,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak dapat memastikan anak penyu berkepala dua itu mempunyai dua organ dalaman kerana tiada sebarang kajian dilakukan buat masa ini.

“Kita ada berhubung dengan beberapa pakar, namun perlu menunggu anak penyu itu membesar sehingga lapan bulan kerana tempoh itu sesuai untuk dibuat ujian.

“Kalau dibuat ujian dalam tempoh segera, kita bimbang anak penyu ini akan mati dan lebih baik kita tunggu ia besar sedikit masa lagi,” katanya.

Katanya, perkembangan anak penyu ini menunjukkan perkembangan positif dan diberi makanan seperti ikan dan sotong tiga kali sehari.

” Bila kita lihat keadaannya sekarang yang sangat aktif dan membesar dengan sihat seperti anak penyu normal, kita berharap usianya lebih panjang,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini