comscore
Tumpuan :
Politik

Abidin ronda Sungai Bakap, ucap terima kasih kepada pengundi

Abidin Ismail, 56, meronda menggunakan lori untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada pengundinya selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap semalam – Foto ihsan PAS Pulau Pinang

NIBONG TEBAL: Calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail tampil dengan cara unik ‘meronda’ menggunakan lori untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada pengundinya selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap semalam.

Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu berkata, lori dilengkapi pembesar suara itu digunakan untuk ‘menghebahkan’ ucapan penghargaan beliau kepada semua pengundi DUN Sungai Bakap yang memberi kepercayaan kepadanya menjadi wakil rakyat mereka.

“Alhamdulillah hari ini kita buat hebahan secara bergerak menggunakan lori dan saya bersama jentera parti sudah tiba di Unit Daerah Mengundi (UDM) Kampung Besar, UDM Sungai Kechil dan akan terus sambung perjalanan hingga selesai kesemua lapan UDM.

“Kita ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi yang memberi kepercayaan kepada calon PN hingga menang majoriti yang besar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Wakil rakyat baharu yang akrab disapa Abang Abidin itu turut menyifatkan kemenangannya semalam sebagai permulaan baik sempena sambutan awal Muharam dan berikrar akan menunaikan manifesto KERJA seperti diumumkan sebelum ini.

Katanya, meskipun hari ini adalah hari pertama beliau bergelar wakil rakyat beliau telah mula ‘bertugas’ dan berdepan pelbagai permasalahan masyarakat sejak menjadi pegawai pembantu kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Allahyarham Nor Zamri Latiff.

“Kita memang sudah mula kerja sejak sebelum ini lagi (jadi wakil rakyat) kita akan teruskan usaha kita dan menyambung tugas arwah Abang Zam (Nor Zamri) yang mana kurang kita akan tambah baik,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persiapan sebagai wakil rakyat ke sidang DUN akan datang, Abidin berkata, pihaknya belum dimaklumkan tarikh mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat setakat ini.

Bagaimanapun, bekas eksekutif logistik itu mengulangi beliau bersedia menjadi pendesak kuat dalam DUN dan membawa suara penduduk di kawasannya yang berdepan masalah atau kesulitan.

“Kita nak jadi pendesak yang kuat… jika berlaku sesuatu isu kita akan jadi perantara dengan pihak berkaitan termasuk memberikan cadangan apa yang sepatutnya dilakukan bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Dakwaan PN tidak boleh buat apa kalau menang itu tidak relevan kerana tugas kita untuk memastikan ada semak imbang dalam kerajaan negeri kerana mereka sendiri pun pernah jadi pembangkang mesti faham konsep tersebut,” katanya.

Semalam, Abidin, 56, memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi dengan majoriti 4,267 undi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini