comscore
Tumpuan :
Politik

ADUN Limbahau diterima masuk GRS

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim, hari ini diterima sebagai ahli langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau sebelum itu mengumumkan meninggalkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Ahad lalu.

Penyertaan bekas Timbalan Presiden KDM itu ke dalam GRS disahkan Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun menerusi satu kenyataan, petang tadi.

“Bekas Timbalan Presiden KDM, Datuk Juil Nuatim diterima sebagai ahli langsung GRS.”Permohonannya diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan disaksikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffery Kitingan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam,” katanya dalam kenyataan itu.

Kelmarin, Juil mengumumkan keluar daripada KDM untuk menjadi ADUN bebas yang menyokong kepemimpinan Hajiji dan kerajaan GRS.

Juil memenangi kerusi DUN Limbahau atas tiket Parti Warisan (WARISAN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 sebelum keluar dari parti itu pada Disember 2021 dan menubuhkan KDM bersama bekas Naib Presiden WARISAN, Datuk Peter Anthony pada Februari tahun lalu.

KDM pada mulanya menyatakan pendirian menyokong kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi kemudian menyertai WARISAN dan UMNO Sabah dalam cubaan menjatuhkan Hajiji ketika krisis politik Sabah pada Januari lalu.

Bagaimanapun, pada Mac lalu, Peter melakukan pusingan U menyatakan kembali menyokong Hajiji dan GRS.Juil sebelum ini menyatakan walaupun KDM mengubah pendirian terhadap GRS ketika krisis politik Sabah, sokongannya terhadap Hajiji dan GRS tidak pernah berubah.

GRS adalah sebuah gabungan yang didaftarkan secara rasmi sebagai parti politik pada awal tahun lalu dengan keahliannya merangkumi parti politik tempatan dan individu.

Loading...
Terkini