comscore
Tumpuan :
Nasional

Annuar Musa dan lebih 10 bekas pemimpin UMNO mohon sertai PAS

Tan Sri Annuar Musa. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan dirinya dan lebih 10 bekas pemimpin UMNO sudah mengemukakan permohonan untuk menyertai PAS.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh memaklumkan sudah menghantar borang keahlian PAS sejak beberapa bulan lalu, kini menunggu kelulusan dari parti itu.

“Bukan 10 orang (bekas pemimpin dan ahli UMNO, tapi) lebih daripada 1,000 bersama-sama dengan saya Insya-Allah pada minggu kedua Jun, kita hanya sekarang sedang menunggu (keputusan) daripada parti PAS.

“Saya mengesahkan saya sudah membuat permohonan (menyertai) PAS, terpulanglah pada PAS untuk menerima saya ataupun tidak kerana saya ini bukan sesiapa pun.

“Keputusan yang saya buat (menyertai PAS) selepas saya meneliti secara dekat dan mendalam senario politik negara dan juga keadaan berlaku dalam politik UMNO itu sendiri,” katanya dipetik laporan sebuah portal berita hari ini.

Terdahulu, beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Muafakat Nasional (MN) di ibu negara, yang turut dihadiri ramai pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa Annuar antara lebih 10 bekas pemimpin UMNO sudah mengisi borang permohonan menyertai PAS.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS turut memaklumkan, pengumuman rasmi mengenai penyertaan bekas Ahli Parlimen Ketereh yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO bersama bekas pemimpin UMN0 lain, akan dibuat hujung bulan ini.

Pada 1 Mei lalu, Takiyuddin mengesahkan Annuar sudah memaklumkan hasrat untuk menyertai PAS, menyusul selepas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar mengesahkan akan bertanding pilihan raya negeri (PRN) di Selangor di bawah tiket PN.

Mengenai bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, beliau berkata bekas Menteri Kesihatan itu diberikan tawaran istimewa oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai BERSATU.

Loading...
Terkini