comscore
Tumpuan :
Politik

Bahan kempen PH disabotaj – AMK 

Oleh: Selwam Arjunan

NIBONG TEBAL: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang memasuki hari ke-6 hari ini dicemari dengan insiden khianat membabitkan bahan kempen Pakatan Harapan (PH) dirosakkan pihak tertentu.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang yang mengemukakan dakwaan itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Selatan (SPS), di sini, petang tadi.

Ketuanya, Fadzli Roslan berkata petugas pilihan raya PH telah melakukan rondaan di sekitar Bandar Tasek Mutiara kira-kira jam 12.30 malam mendapati sekumpulan petugas parti lawan sedang memasang bahan kempen di kawasan terbabit.

“Apabila kita meneruskan rondaan selepas satu jam di kawasan terbabit, kita dapati beberapa bahan kempen telah dirosakkan di tempat yang sama.

“Lebih-lebih lagi, bahan tersebut digantikan dengan bahan kempen parti lawan,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis, petang tadi.

Jelasnya, bahan kempen terbabit telah dicabut dari pokok dan dibuang ke dalam longkang.

Ujar beliau, pihaknya telah menyerahkan bahan bukti termasuk bahan kempen, gambar dan butiran individu terbabit kepada pihak polis.

Katanya, beliau tidak mahu menuduh mana-mana pihak atas insiden berkenaan, namun mahu kempen dijalankan secara berhemah sehingga hari mengundi pada 6 Julai.

“Bagi saya, dalam menghadapi PRK ini tidak mahu kempen dilakukan secara tidak sihat. Jalankan kempen dalam keadaan tanpa provokasi, jangan rosakkan bahan lawan sebab anak muda perlu menunjukkan contoh yang baik.

“Pihak polis telah memberi kerjasama yang baik kepada kami jadi kami menyerahkan kepada mereka untuk melakukan siasatan dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya lagi.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Dr Joohari Ariffin dan Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini