comscore
Tumpuan :
Politik

Bersabar dan beri peluang kepada Presiden – Ahmad Maslan

Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta pemimpin dan ahli parti itu bersabar dan tidak terburu-buru mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan sebagai Presiden.

Katanya langkah itu adalah perlu bagi membolehkan Ahmad Zahid mengembalikan kegemilangan parti selain membersihkan dirinya daripada pertuduhan mahkamah.

“Saya harap pimpinan serta ahli UMNO bersabar dan beri peluang kepada Presiden untuk membersihkan diri daripada pertuduhan mahkamah yang dikenakan terhadapnya.

“Ini kerana pertuduhan 87 kes mahkamah ke atas presiden itu menyebabkan persepsi rakyat terhadap imej Presiden dan UMNO buruk.

“Bagi saya, Presiden tidak perlu meletak jawatan sebaliknya perlu diberi peluang membersihkan diri daripada baki 47 pertuduhan mahkamah. Saya yakin, sebagaimana 40 pertuduhan sudah dilepas dan dibebaskan mahkamah, keputusan sama terhadap baki 47 kes lagi.

“Kita mengharapkan keseluruhan imej Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO akan dibersihkan menerusi mahkamah sekali gus parti akan diperkasakan semula seperti sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas menyampai hadiah pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pontian, di sini, hari ini.

Pada 23 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem VLN.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini