comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Kemaman: ‘Jangan ‘dibakar’ satu-satunya jambatan perhubungan ini’ – Ahmad Maslan

Bendera BN dan Pas mula dipasang sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Kampung Geliga. – FOTO: NSTP

PONTIAN: Pengundi Parlimen Kemaman perlu menjadikan kawasan itu sebagai jambatan penghubung di antara Terengganu dengan Kerajaan Perpaduan.

Justeru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berharap pengundi dapat menggunakan peluang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2 Disember nanti untuk memilih satu-satunya wakil Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

“Jangan ‘dibakar’ satu-satunya jambatan perhubungan ini. Gunakan peluang ini, jika tidak perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti,” katanya.

Beliau berkata pengundi perlu bijak membuat pilihan dan tidak terbuai dengan sentimen kononnya rakyat Terengganu masih dalam ‘mood’ untuk mengekalkan rekod 40-0 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Apa faedahnya hendak kekalkan ‘telur’ (untuk BN) di Terengganu. Tiada faedah pun.

“Sekiranya calon Pas, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang PRK Kemaman sekali pun, kawasan itu masih pembangkang di peringkat Kerajaan Pusat.

“Pada pandangan saya, pembangunan yang ada di Kemaman ketika ini pun banyak dilaksanakan ketika BN memerintah sebelum ini,” katanya selepas mengadakan tinjauan barang keperluan di sekitar Pontian, hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dilaporkan berkata rakyat Terengganu tidak rela untuk memecahkan ‘telur’ dan masih dengan ‘mood’ 40-0 iaitu menolak kepimpinan Umno, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang dikuasai Perikatan Nasional (PN) sepenuhnya dengan penguasaan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan lapan Parlimen.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember nanti menyaksikan pertembungan antara calon BN iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Dr Ahmad Samsuri mewakili Pas.

Pada PRU-15 lalu, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 iaitu majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini